Air Ajaib

by - Rabu, Mac 17, 2010

Soalan: Syarikat tertentu telah mempromosikan air yang ditulis ayat al-Quran padanya, atau kismis yang dijampi. Sehingga didakwa sesiapa yang meminumnya akan menjadi cerdik seperti ulamak silam. Apakah pandangan DR MAZA tentang hal ini?

Jawapan: Dalam hadis ada beberapa orang sahabah yang didoakan oleh Nabi s.a.w. agar diberikan ilmu dan kepandaian. Antaranya tokoh sahabah yang masih muda Ibn ‘Abbas r.a.huma yang baginda doakan untuknya :

اللَّهُمَّ عَلِّمْهُ الْكِتَابَ

Maksudnya: “Ya Allah! Ajarkanlah dia al-Kitab (al-Quran).(Riwayat al-Bukhari).

Ibn ‘Abbas benar-benar muncul sebagai tokoh ilmu pengetahuan, penafsir al-Quran dan sahabi yang alim yang menjadi rujukan umat. Namun Ibn ‘Abbas bukanlah seorang yang hanya menunggu hasilnya doa baginda datang bergolek seperti mana sesetengah pihak menunggu kesan bahan jampi. Sebaliknya sejarah mencatatkan kesungguhan beliau dalam berusaha memperolehi ilmu. Selain daripada berkesempatan mengambil ilmu secara langsung daripada baginda s.a.w selama tiga puluh bulan. Kemudian baginda wafat ketika umur Ibn ‘Abbas tiga belas tahun. Beliau terus mengambil hadith daripada para sahabah seperti ‘Umar ibn Khattab, ‘Ali, Mu’az, bapanya sendiri iaitu ‘Abbas, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, dan ramai yang lain. (lihat: al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 3/332-337, Beirut: Maktabah al-Risalah).

Maksudnya, doa Nabi s.a.w. memang dimakbulkan Allah melalui proses keilmuan yang sepatutnya. Sebaliknya, keadaan sesetengah masyarakat muslim seakan cuba digula-gula dengan meminum atau memakan bahan jampi orang agama, maka akan berlaku keajaiban dalam kehidupan. Sepatutnya yang ditekankan adalah soal kesungguhan menuntut ilmu seperti yang difardukan oleh Islam.

Malangnya dalam masyarakat muslim, kesungguhan membaca, memilki buku, memenuhi perpustakaan, menulis bahan ilmiah tidak digembar-gemburkan, bahkan ‘orang lain’ mendahului kita. Tiba-tiba jampi menjadi cerdik pula yang mendapat publisiti dan dijual secara komersial.

Tidakkah kita merendahkan Islam apabila orang bukan Islam melihat anak orang kita yang minum air jampi ‘ustaz’ tidak lebih cemerlang atau jauh ketinggalan dibandingkan anak ‘orang lain’ yang berbekalkan air mineral?. Janganlah kita lelongkan agama kerana bisnes kita.

Allah Lebih Mengetahui

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

You May Also Like

0 comments