Bantulah mereka berbuka puasa

by - Sabtu, Ogos 07, 2010


ALHAMDULILLAH... sangat senang bila menerima sembako ini. Syukurlah, masih ada yang murah hati membantu kami di sini. Terima kasih kepada orang Malaysia..."

Begitulah luahan spontan lagi penuh bermakna nenek Mas Odah Ramijan, 73, semasa menerima sumbangan Islamic Relief Malaysia (IRM) menerusi kempen 'Bantulah Mereka Berbuka Puasa' Peringkat Antarabangsa yang disempurnakan pada 23 Julai lalu di Rumah Kebajikan Yayasan Hasmah Noor, Kecamatan Tanjung Priok, Jakarta Utara, Indonesia.

Malah beberapa ibu lain yang sempat penulis hampiri juga menyuarakan rasa kelegaan malah sehingga ada di antara mereka yang menitiskan air mata kegembiraan atas pemberian sembako (sembilan barangan pokok/asas) itu, memandangkan umat Islam tidak lama lagi akan menyambut Ramadan.

Akui Sumarni Mariyarnom, 75, yang sudah lebih lima tahun tinggal di rumah kebajikan itu, walaupun mempunyai tiga anak tetapi mereka juga bukannya orang senang. Biarpun bergaji, tetapi pendapatan yang diperoleh tidak sampai pun RM150 sebulan.

Sebulan tak sampai RM150? Berkerut dahi penulis. Bayangkan apa yang dapat dibelanjakan dengan jumlah sekecil itu. Saat itu juga, penulis bersyukur dengan kehidupan yang dilalui, meskipun tidak dalam kategori orang berada.

Sebab itulah, kata Sumarni lagi, bila ada program-program sumbangan ini ramai yang susah tidak sekali-kali melepaskannya terutama pada Ramadan dan Lebaran. Malah dua bulan inilah yang dinanti-nantikan mereka yang susah ini.

Pengakuan mengejutkan ini turut disokong oleh pengasas Rumah Kebajikan Yayasan Hasmah Noor, Andi Ismariskiah Sumintapura, 67.

Katanya, sebab itulah apabila didekati oleh pihak IRM, dia mensyaratkan agar penyampaian sembako dilakukan secara tertutup. Bukan bermaksud bersikap lokek tetapi bagi menjamin keselamatan semua pihak.

Kata Andi lagi: "Adalah lebih baik jika ia dibuat secara senyap-senyap atau tertutup. Kalau tidak berhati-hati, dibimbangi akan berlaku perkara yang tidak diingini atau kemalangan dahsyat. Di mana pernah terjadi sehingga meninggal dunia kerana berasak-asakan".

Pemberian Sembako di kalangan masyarakat Indonesia memang tidak asing lagi, lebih-lebih lagi mendekati Ramadan dan Syawal.

Sembilan Bahan Pokok atau sering disingkat Sembako ini adalah sembilan jenis kebutuhan asas masyarakat di negara ini iaitu beras, gula pasir, minyak goreng dan marjerin, daging lembu dan ayam, telur ayam, susu, jagung dan sagu, minyak tanah atau gas dan garam.

Berbalik kepada program sehari itu di Rumah Kebajikan Yayasan Hasmah Noor, seramai 125 warga emas wanita yang berusia lebih 60 tahun telah diraikan oleh IRM.

Pek barangan tersebut yang mengandungi makanan keperluan harian asas penduduk sesebuah negara diharap dapat membantu meringankan beban keluarga tersebut selama dua hingga tiga minggu sepanjang bulan Ramadan yang akan datang.

Menurut Pengarah Negara IRM, Zawahir Abdullah, kempen Bantulah Mereka Berbuka Puasa atau Ramadan Feed The Fasting 2010 merupakan program unik dan tahunan anjuran IRM sepanjang bulan Ramadan sahaja.

"Bagi tahun 2010, pihak IRM telah mensasarkan untuk mengagihkan pek makanan tersebut kepada 10,000 penerima bantuan dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak yang terdiri daripada golongan fakir miskin, ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim, golongan kurang upaya (OKU) dan mereka yang layak mengikut pemerhatian dan kriteria yang telah ditetapkan.

"Program ini turut dilaksanakan serentak di serata dunia menerusi cawangan-cawangan Islamic Relief yang lain.

"Untuk pengetahuan semua, bagi tahun 2009 sahaja, Islamic Relief Worldwide berjaya mengagihkan pek makanan kepada lebih 1,000,000 penerima di serata dunia.

"Pengagihan peringkat antarabangsa lebih tertumpu kepada golongan yang menghadapi krisis makanan disebabkan oleh kemiskinan, bencana alam, konflik dan juga peperangan," katanya.

Ujar Zawahir lagi, melalui kempen yang telah bermula sejak 2007, orang ramai atau syarikat korporat boleh menyumbang sebanyak RM50 bagi satu pek sumbangan lengkap makanan keperluan harian untuk sebuah keluarga.

Bayangkan dengan hanya RM50 untuk satu pek makanan, anda dapat menyinari Ramadan mereka dengan adanya sedikit sumbangan untuk mereka berbuka puasa dengan lebih ceria. Fikir-fikirkanlah...

Sebarang bantuan yang ingin dihulurkan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi IRM iaitu www.irm.org.my atau menghubungi Farouq Zauji di talian 03-8948 6334 atau 019-397 3558.


sumber : UTUSAN

You May Also Like

2 comments

  1. betul bro....daripada kita dok melalak ke mana perginya wang zakat? apa tanggungjawab pihak berkuasa? kemana pergi wakil rakyat? apa salah kita mengeluarkan duit sendiri (bagi mereka yang mampu keluarkan lebih sedikit mengikut kemampuan) dan sama2 membantu mereka yang susah. rasanya itu yang terbaik. kita bantu orang lain, suatu masa Allah gerakkan orang lain pulak bantu di kita

    BalasPadam
  2. Selain itu, kita boleh je bersedekah di mana2 saja di Malaysia eg pasar malam, lorong2 bangunan membeli-belah, masjid2, gerai makan... ramainya peminta sedekah... makmur betul negaraku Malaysia...

    BalasPadam