5 bergaduh rebut 2 wanita

by - Rabu, September 22, 2010

 

AMPANG: Gara-gara berebut teman wanita, sekumpulan lima lelaki warga Afrika bergaduh menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan amaran ke udara untuk meleraikan pergaduhan itu di Bandar Baru Ampang, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi semalam, semua lelaki Afrika terbabit tidak mengendahkan amaran polis supaya berhenti bergaduh menyebabkan seorang anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan bagi menghentikan tindakan itu.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner, Abdul Jalil Hassan berkata, kejadian berlaku ketika semua suspek berada di sebuah restoran.

Menurutnya, kelima-lima mereka yang berasal dari Nigeria dan Cameroon bersahabat baik dan datang ke restoran berkenaan untuk minum bersama dua lagi wanita yang juga berasal dari Afrika.

Beliau berkata, selepas minum dan mabuk, mereka mula bertekak kerana mahu berebut wanita Afrika yang dibawa bersama.

Katanya, keadaan menjadi bertambah tegang apabila mereka mula bertumbuk dan memukul menggunakan kayu dan kerusi dalam restoran berkenaan. “Orang ramai termasuk pemilik restoran tidak berani masuk campur untuk menghentikan pergaduhan terbabit sebaliknya menghubungi polis.

“Polis tiba lima minit kemudian untuk meleraikan pergaduhan semua suspek terbabit,” katanya.

Namun, kehadiran polis tidak dihiraukan, malah mereka terus bergaduh menyebabkan anggota polis melepaskan satu das tembakan amaran ke udara untuk menyuraikan mereka.

“Selepas keadaan reda, polis menahan lima lelaki Afrika terbabit termasuk dua wanita yang menjadi punca pergaduhan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, dua daripada lelaki terbabit dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana cedera.

Katanya, semua suspek berusia 22 hingga 30 tahun kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh.

Abdul Jalil berkata, berikutan itu, polis kini meningkatkan pemantauan dan rondaan di kawasan Bandar Baru Ampang yang dikenal pasti sebagai tempat tumpuan warga Afrika berkumpul.

“Kami memandang serius insiden pergaduhan dan jenayah membabitkan warga Afrika. Kebanyakan mereka mengaku pelajar kolej,” katanya.

sumber : HMETRO

You May Also Like

0 comments