Dua bayi sah mati di TASKA tak berlesen

by - Ahad, September 26, 2010

JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semalam mengesahkan dua bayi yang mati dipercayai tersedak susu dalam kejadian berasingan di Putrajaya, Isnin dan Selasa lalu, berlaku di dua taman asuhan kanak-kanak (TASKA) yang tidak berdaftar.

Sehubungan itu, Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghentikan operasi kedua-dua TASKA berkenaan selama tiga hari bagi membolehkan jabatan itu membuat penyelidikan manakala pihak polis melakukan siasatan.

“Kementerian kesal dengan kejadian yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada keluarga bayi berkenaan. Saya berharap ibu bapa lebih peka dengan menyiasat terlebih dulu sebelum menggunakan khidmat TASKA itu termasuk memastikannya memiliki perakuan pendaftaran. Jika tiada, laporkan kepada JKM pada masa terdekat atau menghubungi talian Nur 15999.

“TASKA yang beroperasi secara haram ini melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta TASKA 1984 yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih tempoh lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Johor 2010 di Teluk Danga, semalam.
Media semalam melaporkan kematian seorang bayi perempuan berusia tiga bulan yang dipercayai dibiarkan menyusu sendirian oleh pengasuhnya di sebuah pusat asuhan di Presint 9, Putrajaya, Selasa lalu manakala satu kes lagi bayi perempuan berusia empat bulan meninggal dunia dipercayai akibat masalah sama di sebuah pusat asuhan lain, Isnin lalu.

Shahrizat berkata, ketika ini, JKM hanya mendaftarkan sebanyak 413 TASKA berbanding lebih 2,000 TASKA yang dipercayai beroperasi di negara ini.

Katanya, pengusaha TASKA dipercayai menjadikan kesukaran mendapatkan kelulusan tiga agensi kerajaan iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan sebagai alasan gagal mereka memiliki lesen pendaftaran dengan JKM.

sumber : Bharian

You May Also Like

1 comments