Suspek utama tak pernah dikurnia gelaran Datuk

by - Sabtu, September 18, 2010

 

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin mengesahkan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain diikat, dipukul dan ditikam hingga mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai.

Katanya, kejadian itu berdasarkan pengakuan suspek selepas soal siasat sebaik semua lapan suspek yang terbabit kes berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau juga mengesahkan, setakat ini hanya lapan suspek ditahan dan polis meneliti sekiranya masih ada mereka yang terbabit kes itu.

“Berdasarkan siasatan, enam suspek yang ditahan selain suspek utama iaitu peguam dan adiknya adalah pekerja suspek utama dan mereka disifatkan sebagai taksub dengan ketuanya, malah ada yang bekerja selama 15 tahun dengan suspek terbabit.

“Siasatan juga mendapati suspek utama tidak pernah dikurnia gelaran Datuk dari mana-mana negeri, malah asetnya juga sudah dibekukan. Bagaimanapun, jumlahnya akan diumumkan kemudian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Dang Wangi, di sini, semalam.

Beliau turut memberi amaran sekali lagi kepada media terutama media arus perdana supaya tidak melaporkan apa yang melampaui batas dengan melaporkan berita yang tidak sahih dan spekulasi yang boleh menggugat keadilan. - HMETRO

You May Also Like

3 comments