Barangan tulen murah di Karnival Jualan Ori

by - Khamis, November 11, 2010

 

PUTRAJAYA: Mulai esok hingga Ahad ini, warga kota berpeluang mendapatkan barangan tulen dan berjenama pada harga yang murah menerusi Karnival Jualan Ori anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Karnival yang dijadual dilancarkan Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe, itu akan diadakan di Hall 3, Mid Valley Exhibition Centre dan dibuka mulai 10 pagi hingga 11 malam.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin, berkata terdapat 73 gerai menjual barangan asli dengan harga lebih murah berbanding di luar seperti alat ganti kenderaan, barangan elektrik, perisian komputer, telefon bimbit, peralatan sukan, pakaian, barangan perhiasan serta produk kesihatan.

"Pada karnival itu juga pengunjung akan berpeluang mendapatkan maklumat mengenai bagaimana cara untuk mengenal pasti antara produk tulen dan produk tiruan," katanya dalam satu temubual baru-baru ini.
Beliau berkata, selain berpeluang mendapatkan barangan tulen pada harga lebih murah, pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah menerusi cabutan bertuah selain dihiburkan dengan persembahan artis popular dan pertandingan melukis untuk kanak-kanak.

Mohd Roslan berkata, karnival itu adalah antara aktiviti Kempen Membanteras Cetak Rompak yang bermula sejak 10 Mei lalu.
Katanya, selain karnival, acara lain seperti program taklimat, seminar dan bengkel turut diadakan.

"Taklimat, bengkel dan seminar itu diadakan di lima zon utama iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur dan Zon Selatan," katanya.
Selain itu, katanya, program jelajah ke sekolah di Semenanjung Malaysia turut diadakan bagi menimbulkan kesedaran mengenai kegiatan cetak rompak dan barang tiruan di kalangan pelajar sekolah.

"Kementerian juga dengan kerjasama pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut menjalankan kaji selidik untuk mengetahui tahap keberkesanan kempen tersebut dan hasil kaji selidik dijangka siap bulan depan.

"Kajian itu akan digunakan untuk merancang dan mencari penyelesaian yang lebih berkesan ke arah membanteras kegiatan cetak rompak," katanya.

Mengenai gerak gempur cetak rompak, beliau berkata operasi penguatkuasaan telah dijalankan ke atas premis perniagaan yang menjual barangan cetak rompak dan barang tiruan dengan tumpuan utama di kawasan panas seperti Jalan Petaling, Kuala Lumpur, Batu Feringgi, Pulau Pinang dan Holiday Plaza, Johor Bahru.

Menyentuh operasi membanteras cetak rompak yang dijalankan sejak 1 Januari hingga 31 Oktober tahun ini, Mohd Roslan berkata sebanyak 73,956 premis telah diperiksa dengan nilai rampasan berjumlah RM25,659,335.

"Pecahan mengikut kes pula ialah di bawah Akta Kawalan Harga 1946 (73 kes), Akta Perihal Dagangan 1972 (516 kes), Akta Hakcipta 1987 (712 kes) dan Akta Cakera Optik (satu kes)," katanya.

Beliau berharap menerusi pelbagai kempen yang diadakan KPDNKK, dapat membantu mengurangkan kegiatan pengedaran dan penggunaan bahan cetak rompak di negara ini selain mengalakkan orang ramai untuk membeli barangan asli berbanding tiruan. - BERNAMA

-BHARIAN-

You May Also Like

4 comments

  1. Org gomen dh gaji, kan?? Apa lagi?? gi la sopink.

    BalasPadam
  2. ni bagus ni...boleh menambahkan pengaliran wang...

    BalasPadam
  3. wah yg ni sure kat tempat khemah putih tu..depan opis je..harus ku terjah, thanks ben ^_^

    BalasPadam
  4. br best nk nyoping gj dah masyukkkk

    BalasPadam