Berita untuk negeri Kelantan : Terkini ..

by - Rabu, Januari 05, 2011

 

Kelantan cari rumah sesuai untuk Khairul Fahmi

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sedang berbincang untuk mencari rumah serta lokasinya yang sesuai untuk dihadiahkan kepada penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, yang mengharumkan nama negara membantu menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 menentang Indonesia, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunaan Insan, Belia Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fattah Mahmood, berkata kerajaan negeri juga belum menetapkan nilai rumah yang akan dihadiahkan kepada pemain remaja itu.

"Kita sedang berbincang di peringkat dalaman untuk menentukan rumah, lokasi dan nilainya untuk dihadiahkan kepada pemain itu, yang penting keselesaan bagi dia dan keluarga,” katanya hari ini.

Dua hari lalu, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengumumkan hadiah tersebut. Khairul Fahmi turut mengharumkan nama Kelantan.

Sementara itu, Khairul Fahmi yang tinggal di Kampung Cherang, dekat sini berkata, beliau tidak menduga kerajaan negeri akan menghadiahkan sebuah rumah sebagai menghargai jasa dan sumbangannya.

Ditanya mengenai seorang lagi pemain Kelantan yang turut menaikkan nama negara dalam piala itu, Nor Shahrul Idlan Talaha, yang berasal dari Terengganu, Abdul Fattah, berkata pemain itu akan diberikan hadiah dalam bentuk lain. - BERNAMA

 

Hati-hati lalu Jalan Gua Musang-Kuala Berang: Polis

GUA MUSANG: Polis mengingatkan pengguna Jalan Gua Musang-Kuala Berang, Terengganu, supaya lebih berhati-hati berikutan terdapat banyak kerosakan teruk termasuk lubang besar di laluan berkenaan yang terdedah kepada bahaya kemalangan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah, berkata kawasan yang paling teruk berlaku kerosakan adalah di Kilometer 47 dari Kuala Berang ke Gua Musang.

"Kerosakan juga turut berlaku di jalan kawasan Rancangan Tanah FELDA Aring yang memerlukan pengguna lebih berwaspada terutama waktu malam.

"Musim tengkujuh sekarang antara faktor berlaku kerosakan jalan dan kita telah meninjau di sepanjang jalan itu dengan mengenalpasti lokasi bahaya," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke laluan itu hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kadar kemalangan jalan raya membabitkan jalan utama di Hulu Kelantan sudah berkurangan sepanjang tahun lalu berikutan sikap pengguna yang lebih berhati-hati. - BERNAMA

Gangguan air di Tanah Merah Jumaat ini

TANAH MERAH: Lebih 13 kawasan di sekitar daerah Tanah Merah bakal mengalami gangguan bekalan air, Jumaat ini.

Eksekutif Hal Ehwal Pelanggan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Hazwan Hassan, berkata gangguan itu berikutan kerja-kerja penyelenggaraan teknikal berjadual di Loji Rawatan Air Bukit Remah, dekat sini.

"Bagi penambahbaikan perkhidmatan bekalan air kepada pengguna di sekitar daerah ini, AKSB akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan teknikal berjadual di loji rawatan terbabit.

"Gangguan dijangka berlaku bermula pukul 8 malam sehingga 5 pagi keesokannya," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara kawasan terlibat ialah Bandar Tanah Merah, Jalan Jedok, Jalan Klinik, Manal, Padang Siam, Lubuk Rotan, Bukit Panau, Belimbing, Jalan Lubok, Bukit Gading, Bechah Laut, Jerangau, Temangan dan beberapa kawasan berhampiran.

Hazwan berkata, bekalan dijangka pulih secara berperingkat selepas kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan. - BERNAMA

You May Also Like

5 comments

  1. tanah merah ade masalah air e? aiyoo!

    BalasPadam
  2. berita terengganu sekali!request nih!haha!

    BalasPadam
  3. saya dah setahun dokkelantan. well, kelantan memang terkenal dengan masalah airnya. Rumah nenek saya pun camtu. Air berkarat.

    P/S : Mujur rambut i tak karat u...

    BalasPadam