Fahaman militan di universiti tempatan terkawal: Hishammuddin

by - Rabu, Januari 05, 2011

 

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, hari ini mengesahkan terdapat penularan fahaman militan di universiti tempatan, berdasarkan laporan agensi perisikan dalam dan luar negara.
Bagaimanapun, katanya, keadaan itu masih terkawal dan tidak menjejaskan keselamatan negara.

"Keadaan itu tidak membawa ancaman segera tetapi kita tak boleh leka....sekiranya ia menimbulkan kebimbangan kepada 'militancy' atau keganasan maka tindakan akan kita ambil tanpa was-was," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Ketua Pengarah International Organisation for Migration (IOM) William Lacy Swing di pejabatnya di sini.

Hishammuddin diminta mengulas laporan sebuah media asing sebelum ini yang antara lain menyebut ada universiti di negara ini menjadi pusat rekrut utama untuk menarik anak-anak muda menyertai kumpulan militan Islam berikutan polisi kemasukan yang longgar.

Beliau, bagaimanapun, menolak tanggapan bahawa universiti dijadikan tempat merekrut, sebaliknya lebih kepada penularan fahaman yang tidak terhad kepada militan Islam, tetapi juga ideologi lain seperti Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) dan Sikh Militants.

Hishammuddin berkata, pihaknya bekerjasama dan berkongsi kepakaran dengan agensi antarabangsa yang lain termasuk Federal Bureau of Investigation (FBI), United Kingdom Intelligence, Australia Intelligence dan Saudi Intelligence bagi menangani perkara itu.

"Sistem Biometrik yang akan diperkenalkan tidak lama lagi juga dijangka turut membantu menyelesaikan masalah tersebut," katanya.
Mengenai desakan agar Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di atas dakwaan menghina Sultan Selangor, Hishammuddin berkata kes itu lebih berbentuk hasutan.

"Kita hanya menggunakan ISA kalau tindakan menjejaskan keselamatan negara. Perkara-perkara yang berhubung kait dengan hasutan ia jatuh kepada Peguam Negara untuk menentukan sama ada tindakan itu adalah hasutan atau tidak," katanya.

Mengenai kunjungan Swing, Hishammuddin berkata Malaysia meminta bantuan IOM untuk meneliti undang-undang berkaitan anti pemerdagangan orang, selain dipelawa sebagai rakan kongsi dalam usaha menubuhkan sebuah akademi di Langkawi yang berperanan menangani jenayah merentasi sempadan termasuk penggubahan wang haram dan pengedaran dadah. - BERNAMA

-BHARIAN-

You May Also Like

3 comments

  1. siswa-siswi kite baik2 insyAllah

    rase mcm nak gelak bace tajuk..terok kan saya..benda serious tp haku mau gelak

    BalasPadam
  2. Siswa-siswi sekarang sudah matang... cuma segelintir sahaja perlu di pupuk dan dibantu lagi....:) Apa keputusan mereka, pasti sudah ada perancangan tersendiri...

    BalasPadam
  3. student skrang more exposed to the world. sbb globalization...so no wonder if there'll be one or two yg obses dgn benda baru...

    BalasPadam