Dapur Tanpa Sempadan...

Isnin, 15 Disember 2014

Ruangan Penulis Jemputan : Mengapa Orang Melayu Sering Gagal Dalam Perniagaan ?

 

Penulis : MNH Sastera Melayu

Jangan pernah tidak percaya bahawa orang Melayu dan Bumiputra masih gagal menguasai ekonomi negara. Bangsa bangsa lain khususnya Cina sudah jauh meninggalkan orang Melayu dalam bidang ekonomi. Mereka terus berjaya dan berjaya mencipta kekayaan buat diri dan bangsa mereka. Melayu? Hanya menjadi penonton pasif sahaja melihat kejayaan dan kekayaan mereka.

Sudah terang lagi bersuluh, sepuluh orang terkaya di Malaysia dimonopoli oleh bangsa Cina. Hanya Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary menjadi wakil tunggal orang Melayu di tempat sepuluh teratas senarai tersebut. Soalan saya, di mana orang Melayu yang lain? Inilah perkara yang perlu dikaji dan diselidiki oleh semua pihak bagi mengatasi masalah ini.

Sebagai seorang penulis blog dan pemerhati bangsa, saya mula memerhati dan mengkaji mengapa orang Melayu sering gagal dalam bidang perniagaan. Tulisan yang anda baca ini adalah hasil pengalaman dan pengamatan saya sendiri. Baca dan cuba buat kritik diri agar kita sebagai orang Melayu dapat berjaya dalam bidang perniagaan selepas ini.

Antara sebab orang Melayu gagal dalam bidang perniagaan adalah :

1. Tidak cukup ilmu dan pengalaman

Kebanyakkan dari bangsa kita tidak cukup ilmu dan pengalaman untuk menceburi bidang perniagaan. Ingatlah, ilmu sangat penting untuk berjaya. Bagaimana untuk kita berjaya jika kita tidak punya ilmu? Sepatutnya orang Melayu perlu belajar dengan ahli ahli perniagaan yang berjaya dan menimba pengalaman dengan cara bekerja dengan mereka. Belajar bagaimana mengurus dan mentadbir sesuatu perniagaan. Rasai dahulu pahit manis dan jatuh bangun dalam dunia perniagaan. Apabila sudah cukup ilmu dan pengalaman, barulah anda dapat membuka sebuah perniagaan dengan berjaya.

Semua tokoh tokoh usahawan terkenal tidak berjaya dalam sekelip mata. Mereka berusaha menimba ilmu dan pengalaman sebelum mereka membuka perniagaan mereka sendiri dan akhirnya mereka berjaya. Tidak percaya? Baca buku Biografi Syed Mokhtar Albukhary. Baca dan cuba perhatikan bagaimana dia berniaga kecil kecilan dahulu sebelum berjaya membuka empayar perniagaan yang besar. Tanpa ilmu, sesiapa pun tidak akan berjaya.

2. Tidak cukup ibadah dengan Allah

Seorang ahli perniagaan umpama seorang pengambara di dalam dunia ini. Mereka perlu menyerahkan hidup mereka seratus peratus kepada Allah Taala untuk terus hidup dan bertahan. Bagaimana anda mahu berjaya jika anda tidak solat? Bagaimana anda mahu berjaya jika anda melanggar larangan Allah dan meninggalkan suruhan Allah? Ingatlah, untuk berjaya kita perlukan restu daripada Allah. Jangan sesekali jauh daripada Allah jika anda mahu berjaya. Banyakkan berdoa dan beribadat kepada Allah. Insya Allah… Allah pasti akan membantu kita untuk berjaya dalam bidang perniagaan. Perbanyakkan menunaikan solat Dhuha, solat Taubat, solat Hajat, solat Tahajud dan zikir. Insha Allah…perniagaan anda pasti berjaya.

Apabila kita banyak beribadat, kita bukan sahaja akan dekat kepada Allah malah perniagaan kita juga akan terus berjaya dan berkembang. Allah itu Maha Melihat, Maha Pemurah dan Maha Pengasih. Allah tidak akan membiarkan hambaNya yang bertaqwa terkontang kanting seorang diri. Nasihat saya, dekat dekatkanlah diri dengan Allah selalu untuk menjadi usahawan yang berjaya.

3. Kurang bersedekah

Antara kunci rezeki adalah bersedekah. Banyakkan bersedekah dari segi wang ringgit dan ilmu. Sebagai contoh, ketika anda makan di sebuah warung, datang seorang peminta sedekah kepada anda, jangan sesekali halau peminta sedekah itu. Berilah sedikit wang kepada dirinya. Banyak atau sedikit bukan soalnya. Sama ada dia menipu atau tidak, itu belakang kira. Ingatlah, Allah sengaja gerakkan hati peminta sedekah itu kepada anda kerana Allah mahu memberikan anda pahala. Cuba bayangkan jika anda menghalau peminta sedekah itu, dapatkah anda pahala? Oleh itu banyak banyaklah bersedekah. Jika anda sudah berjaya, kongsikan ilmu kejayaan anda dengan orang lain. Itu juga satu sedekah. Anda tidak akan rugi sebaliknya akan terus kaya dan berjaya.

Sedekah yang paling baik adalah kepada kanak kanak dan orang miskin. Beri mereka duit jika anda terserempak dengan mereka. Jika anda jumpa peminta sedekah di tepi jalan, hulurkan sedikit wang. Ingatlah, Allah melihat apa yang kita lakukan. Sedekah bukan sahaja akan buat perniagaan kita berjaya, malah dapat menghindarkan kita dari penyakit dan mara bahaya. Nasihat saya, banyak banyaklah bersedekah…

4. Kedekut

Antara salah satu punca orang kita gagal dalam perniagaan adalah kerana mereka kedekut. Cuba kita singgah di restoran restoran yang dimiliki oleh orang Melayu. Harga nasi goreng kampung sahaja sudah mencecah RM5 namun setelah habis sepinggan ada di antara kita yang berasa tidak kenyang. Mengapa? Kerana peniaga memberi kita nasi sedikit sahaja. Hanya satu mangkuk kecil nasi. Sudahlah harga mahal, kemudian kita pula tidak berasa kenyang apabila makan di restoran itu. Ditambah pula makanan itu tidak sedap! Akibatnya, pelanggan tidak lagi datang ke restoran itu. Jangan sesekali kedekut dengan pelanggan kita. Ingat lagi dengan konsep sedekah? Mengapa orang Cina mudah berjaya dalam perniagaan? Kerana mereka tidak kedekut. Tidak percaya? Cuba masuk ke restoran Cina Muslim. Walaupun harga makanan mereka mahal, namun makanan mereka sedap dan mengenyangkan. Oleh sebab itu pelanggan sering datang ke restoran mereka.

5. Produk atau perkhidmatan tidak berkualiti

Sebagai penuntut dalam bidang Pengajian Perniagaan, aspek utama dalam perniagaan adalah kepuasan pelanggan. Bagaimana pelanggan mahu berpuas hati jika produk yang kita tawarkan tidak berkualiti? Contoh mudah apabila kita membeli nasi lemak. Mahukah kita makan nasi lemak yang tidak sedap dan kadang kala hampir basi? Sudah tentu tidak. Pelanggan juga tidak suka dengan layanan dan perkhidmatan yang lambat kerana itu membuang masa mereka. Oleh itu, sediakan produk dan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan jika anda mahu perniagaan anda berjaya dan kekal bertahan.

6. Malas

Firman Allah : Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum jika kaum itu tidak mengubah nasibnya sendiri. Jika kita malas berusaha, bagaimana kita mahu berjaya. Saya melihat antara sebab musabab orang Melayu gagal dalam perniagaan adalah kerana sikap malas! Sebagai contoh, hari ini kita buka kedai. Kemudian selama tiga hari kita tutup kedai. Kemudian kita buka lagi selama dua hari. Kemudian kita tutup selama seminggu kerana malas. Bagaimana kita mahu berniaga jika sikap kita begitu? Bagaimana kita mahu ada pelanggan yang setia jika kedai kita selalu buka tutup dan buka tutup? Sikap malas perlu dibuang dari diri kita jika kita ingin berjaya dalam perniagaan.

7. Sombong

Jangan sesekali kita sombong, selalu marah marah dan bersikap kurang ajar dengan pelanggan. Sebagai contoh, saya pernah masuk ke sebuah kedai runcit, sudahlah layanan pekedai itu tidak mesra, apabila saya tanya dia banyak soalan, dia marah saya pula dan dia menjawab dengan nada kasar. Akibatnya, saya tidak lagi singgah ke kedai itu dan akhirnya kedai itu pun sudah tidak wujud lagi di kawasan rumah saya. Jelas bukan bahawa sikap sombong akan menyebabkan perniagaan kita akan terjejas teruk? Oleh itu, sentiasalah bersikap baik dengan pelanggan. Beri layanan yang sama rata kepada mereka. Jangan pilih bulu ketika melayan pelanggan maksudnya kita hanya memberi layanan yang baik kepada pelanggan yang kaya, pelanggan yang kurang kaya kita buat acuh tidak acuh sahaja. Sikap semacam itu perlu dihapuskan dalam diri kita. Semua pelanggan adalah ‘raja’ di dalam kedai kita. Beri layanan yang baik kepada mereka dan Insha Allah…perniagaan anda pasti akan berjaya.

Kesimpulannya, inilah tujuh sebab sebab mengapa orang Melayu sering kali gagal dalam bidang perniagaan. Saya harap dengan penulisan ini dapat memberi kesedaran kepada kita semua supaya melakukan anjakan paradigma dan meningkatkan motivasi untuk kita terus berjaya dalam bidang perniagaan.

Sebagai blogger yang cinta akan bangsanya, besarlah harapan saya untuk melihat anak anak Melayu terus berjaya dalam bidang perniagaan dan ekonomi. Saya bukanlah pakar ekonomi cuma seorang blogger dan pengedar Shaklee yang mahu melihat anak bangsanya mengecapi kejayaan dan kemewahan di tanah airnya sendiri. Wassalam

 

Setiap artikal adalah pendapat atau pengalaman penulis sendiri. Takde kaitan dengan admin blog. Terima kasih. Jika anda berminat menjadi Penulis Jemputan , bolehlah emailkan artikal anda di benashaari@yahoo.com

7 komen :

gadisBunga™ berkata... [Reply to comment]

Semua points betul. Dan jangan pelik kalau orang melayu sendiri lebih suka berurusan dengan orang bukan melayu. Sebab mereka lebih pandai mengambil hati customers.

Permatabiru berkata... [Reply to comment]

seteju dengan penulis..sebagai pembeli kadang2 niat yang asal nak membantu peniaga melayu terbantut dek perangai peniaga melayu itu sendiri...

Mek Zumbie berkata... [Reply to comment]

mostly sebab diorang malu..huhuhu..this was based on experience.

muslimah rempit berkata... [Reply to comment]

sepatutnya tambah lagi satu 'point',
Orang melayu suka buat perkara syirik, terutama bidang makanan.

Maria Firdz berkata... [Reply to comment]

setuju sgt dgn semua point di atas...

Mat Gebu berkata... [Reply to comment]

Setuju sangat...ada orang melayu baru berniaga pasar malam saja, dah berlagak macam tauke kapal...cita2 besar...untung sikit, asyik nak tukar kereta tak sudah...atau yang lebih parah, kawin lagi satu...kalau berniaga makin maju takpe, ni akhirnya gulung tikar..dan akhirnya persalahkan bangsa sendiri taknak tolong orang melayu...

Raihanah Ahmad berkata... [Reply to comment]

ramai juga yang dengki sebab kejayaan orang lain.

Peringatan



Ini adalah blog peribadi.Sebarang pendapat yang saya luahkan di sini adalah dari saya sendiri ,tidak melibatkan mana mana pihak kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya.

Sebarang PRINT SCREEN terhadap blog ini adalah dilarang kecuali atas keizinan tuan punya blog. Tuan punya blog tidak teragak agak mengambil tindakan undang undang jika hak persendirian ini dicabuli.

Pendapat penulis tidak semestinya kekal .

Terima Kasih ..

BEN ASHAARI