Pemilik sebenar kisah ' Perempuan Berjubah Hitam di siling kedai ' !

by - Khamis, Mac 07, 2019

Sebuah kisah benar yang viral tapi sayangnya , tak tau dari mana punca sebenar. Masing masing letak kredit pada empunya yang mana empunya tu pun tak tau dari mana asal usul cerita tu. Ni la kesannya bila main copy paste tanpa beri kredit yang sepatutnya..

Hari ni , terbaca seorang kenalan di Facebook share kisah Perempuan Berjubah Hitam di siling kedai ni sekali lagi dan sumber dikreditkan pada blog mana tah la pulak. Hahahha.. Terus aku hubungi penulis sebenar dan menanyakan perihal tersebut. Penulis sendiri pon dah 'letih' nak menegur bab ni. 

Kisah ni memang best dibaca. Sememangnya ianya berlaku dan diamalkan oleh mereka yang inginkan keuntungan berlipat kali ganda dengan cara yang tak diredhai Allah. ! Fuh... sanggup woo ! Macam macam la kisah kalau korang rajin mencari dan bertanya pada yang pernah alaminya.

Ok..Kisah Perempuan Berjubah Hitam di siling kedai ni milik En.Zulkifli Ahmad , penulis novel Mata Tidak Berhijab yang popular di kalangan cerita cerita seram gitu. Malah drama cerita seram ni pun dah ada di Youtube. Tajuknya. Mata Ketiga. Kalautu korang pengemar drama seram online, gi je search kat situ.. Mata Ketiga. 

Kembali ke cerita Perempuan Berjubah Hitam di siling kedai tu.. meh aku bagi cerita tu eh ? Dari blognya , Mata Tak Berhijab



" Sampai kat kedai dah pukul 12.30 tengah malam. Punyalah ramai manusia. Hampir kesemua tempat penuh. Hmmm ... Dia orang ni tak reti nak tidur ke? Esok tak kerja kot? 

Duduk dan order. Mak aiii ... minah yang ambil order ni .. mukanya ... manis lagi cuka. Comei tu boleh le tahan juga. Bak kata orang sebagai penyeri kedai tapi kalau muka kelat dan ketat, pergi mana pun tak berseri. 

Sementara menunggu minuman, mata mula meliar memerhati sekeliling kedai. Entah mengapa tiba-tiba terlihat ada sebiji botol kecil, diselitkan di siling penjuru pintu masuk kedai. Hati dah mula resah. Mulalah menggaru kepala  yang tak gatal. 

Kepala didongakkan lagi. Di penjuru satu lagi, terlihat lembaga perempuan, berjubah hitam tengah bertenggek di atas alang. Matanya tajam memerhati setiap pelanggan yang datang. Rambutnya bagai model iklan syampu Rejoice -  sebelum menggunakan syampu. Mengerbang.

Rupanya ... alahai ... harimau tengok pun boleh pengsan! Terkopek sana sini. Badannya dihayun-hayunkan bagai meratip. Apa yang diratipkan pun, tidak jelas. Sesekali apabila pelanggan baru masuk, tangannya akan dijuntaikan  menyentuh kepala pelanggan itu.

"Ini teh nya. Makan tak mahu?" tanya seorang lagi pelayan, sambil menghentak mug berisi teh. Kepala digelengkan. Ehhh ... baru kerja jadi pelayan dah berlagak. Udah le duit pelanggan tu yang membayar gaji, tapi layan pelanggan macam orang minta sedekah. 

Petua orang tua, bila makan diluar, lagakan lidah ke lelangit. Kalau geli, barulah diminum. Raba juga bawah bekas minuman atau makanan. Kalau minuman tu panas dan bawahnya sejuk atau sebaliknya, adalah sesuatu yang diletakkan.

Setelah semua itu dilakukan, bacalah selawat dan doa makan. 

Ketika tangan dihulur ke arah mug, entah bagaimana, kedengaran kuat bunyi mug merekah. Tidak sampai 10 saat, tiba-tiba terbelah dan air teh melempah. Hampir sahaja teh panas mengenai seluar. Kepala diangkat dan mata tepat merenung ke arah benda di atas alang pintu. 

Ia berayun sekali lagi. Bagaikan monyet di dalam kandang. Mamak kat kaunter cepat-cepat berlari dan bertanya apa berlaku. Kepala digeleng sambil membayar terus duit teh. Bayaran ditolak dengan alasan air tidak diminum lagi dan mahu digantikan dengan minuman lain.

Hmmm ... tak perlu untuk diganti. Biarlah. Tapi sebelum keluar sempat menegur mamak. 

"Tolong buang botol yang kat atas tu dan perempuan tu sekali," sambil menunjuk ke arah siling. Mamak seolah terkejut bila ada orang tahu akan muslihat pelarisnya.

Melangkah keluar daripada kedai itu, terasa ada benda yang mengikuti. Menoleh ke kiri, kelihatan perempuan berjubah hitam sedang mengekori. Nampaknya tak boleh balik rumah teruslah ni. Mahu tak mahu, kaki terus melangkah ke arah sebuah lagi kedai mamak.

Teh tarik halia dipesan. Tambahan - air mineral dan limau nipis. Badan menghadap belakang kedai. Limau diperah ke dalam air mineral. Beberapa surah dibacakan berserta doa untuk keselamatan. Setelah menghabiskan minuman, kaki perlahan melangkah ke arah kereta. 

Bulu roma tegak kembali. Masih mengikuti rupanya. Perlahan botol air mineral dibuka dan air dimasukkan ke dalam mulut. Walaupun tidak kelihatan, namun deria keenam terasa bagaikan ada tangan yang ingin mencapai tengkuk. Semakin lama semakin rapat.

Badan dikalih ke kiri dan serentak air dihembur keluar ke arah makhluk itu. Mungkin kerana terkejut, ia terus melompat ke arah lampu jalan dan terus bertenggek. Campuran air mineral dan limau disimpan.  Beberapa pelanggan di kedai mamak memerhati dengan pelik. 

Buat-buat tak tahu aje lah. 

Langkah dipercepatkan ke arah kereta dan dengan pantas menghidupkan engin. Mata terus memandang lampu jalan. Ya .. ia mash di situ. Bagai menunggu arahan tuannya. 

Sepanjang perjalanan ke rumah, hati bertanya ... apakah teruk sangat perniagaannya sehingga memerlukan bantuan daripada luar? Jika dilihat, pelanggannya memang ramai. Beberapa bulan dahulu pernah makan di sini dan ternyata juadahnya memang enak! 

Apakah ketamakan telah mengabui matanya .... 


MUNGKIN " - Zulkifli Ahmad ( 3/2/2015 ) 





Gitulah ceritanya. Bagi pengemar cerita cerita mistik , memang best la baca kat blognya. Malah banyak novel novel karyanya dah diterbitkan. Cerita mistik gitu laa.. Kalau korang nak beli , boleh pm dia di Facebook jer.. InshaAllah dia balas dengan segera. Hee.. 


You May Also Like

2 comments