Benarkah sukar nak mendidik anak sulung ?

by - Khamis, Jun 06, 2024

Disiplinkan si sulung , yang lain akan turut serta ! Benarkah begitu ? Hurm.. berkat doa sang isteri untuk mengubah aku , menampakkan hasil. Ya... benar. Dan sesungguhnya itulah yang aku pohon kepada Allah ketika aku bujang dulu. Kurniakanlah pada aku seorang isteri yang mampu mengubah kehidupan jahil aku ini. 

Alhamdulillah... dan sesungguhnya aku berazam untuk mendidik anak anak aku sebaik mungkin. Berikan yang terbaik semampu aku. Selagi aku terdaya. Ajari mereka menjauhi yang buruk serta berdosa dan perbaikkan berbuat kebaikan kerana Allah. Jangan sesekali lakukan untuk manusia kerana manusia akan mudah terlupa tapi tidak Allah. 

Cara untuk mendidik anak sulung ni , sebenarnya tak susah. Kita kena tunjukkan pada mereka. Jika sang ayah boleh lakukan , dia akan tercabar juga. Kenapa ayah boleh tapi tidak dia ? Dia yang merasakan dirinya sudah besar dan mampu lakukan apa yang ayah dia buat , pasti akan punya satu semangat untuk mencabar diri sendiri. 

Mulakan dengan solat berjemaah. Kemudian ajak ke masjid. Mulakan dengan Maghrib Isyak. Dia akan hadir satu perasaan seronok bila bersolat beramai ramai ni. Bila sudah biasa, tambah dengan subuh berjemaah di masjid dengan si sulung. Ajak juga hero hero yang lain jika ada. Cuba disiplinkan seminggu. Kemudian teruskan sebulan dan dia akan terasa satu kelainan. Mengantuk camana pun , dia akan berusaha bangun. 

Maaflah.. aku bukan nak bagitau aku baik dan keluarga aku bagus. Aku sekadar berkongsi cara yang mana aku sendiri pun sedang betulkan lagi. Anak sulung aku dah pun berumur 12 tahun dan sekarang cara dia pun dah berbeza. Tak boleh nak marah marah terutama depan adik adik dia. Dia terasa malu dan paling dia akan terasa hati bila kita memuji adik adik dia depan dia. Dia terasa tercabar.

Contohnya bila iqamah di surau. Bila adiknya yang melaungkan dan aku berkata suara si Aariz jelas, aku perasan.. setiap kali dia iqamah , dia akan pandang aku dan menantikan kata kata aku. Dan biasanya aku akan kasi bintang pada dia. Dia akan tanya apakah kelemahannya dan berusaha untuk perbaiki. Bila ke masjid, bilal akan iqamah , aku suruh dia dengan baik baik , cara dan lantunannya. Dia ubah... dan akhirnya dia tersenyum bila aku anggukkan kepala. 

Si sulung dahagakan pujian atau sebenarnya kasih sayang. Dia tercabar kerana kehadiran adik adiknya. Terasa diketepikan. Alhamdulillah... setiap hari akan keluar  Google memori gambar gambar 10 tahun dulu. Dan aku tunjukkan pada dia betapa dia sebenarnya lebih beruntung dari adik adiknya. Mewah kehidupan dia dulu. 

Paling sukar ialah bila berlaku pertikaian sesama mereka. Siapa yang kita nak menangkan ? Hurmm.. masa ni la kita kena gunakan segala pengalaman yang ada. Masing masing nak menang dan tunggu untuk dimenangkan. Jika salah perhitungan , salah seorang akan sentap dan mengasingkan diri. Pastu terasa seperti tidak disayangi. 

Fuh... kita kena banyak bersabar. Jangan asyik berpegang pada orang tua dulu dulu. Tak sama dah keadaan sekarang. Budak budak sekarang , cepat matang. Aku dibaya Qhaliff dulu pun sibuk dok bermain siang malam dengan kawan kawan. Dia ? Balik sekolah saja dah mula ada tugasan di dalam rumah. 

Apa apa pun.. kita sebagai mak ayah, kena banyak bersabar dan kalau boleh.. berikan kasih sayang dengan seadilnya. 

Jadikan satu kewajiban bersubuh di masjid untuk pastikan si sulung berdisiplin sebagai permulaan.









You May Also Like

1 comments

  1. Dulu selalu fikir anak bongsu paling disayangi. Tapi lepas ada anak sendiri, sebenarnya anak sulung tu yang paling disayangi. Sayu je kalau tengok pengorbanan mereka dengan adik-adik :')

    BalasPadam