SAYA menghadapi masalah yang tragis kerana membabitkan maruah diri. Saya gadis berusia awal 20-an dan masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan.
Saya tinggal bersama dua rakan, seorang bekerja dan seorang lagi masih menuntut. Awalnya tiada masalah dalam perhubungan kami dan saya cukup seronok tinggal dengan mereka kerana banyak membantu sama ada sama ada tenaga kerja atau kewangan.
Namun, kebelakangan ini semuanya berubah dan saya semakin terseksa apabila mereka mengajak melakukan hubungan sejenis.
Saya jijik mendengarnya dan berusaha menolak, namun selepas dipujuk rayu, akhirnya tewas. Saya terpaksa melayan nafsu songsang itu hingga hari ini.
Saya sangat terganggu, jiwa bercelaru dan pelajaran terganggu. Lebih malang lagi, akhirnya saya ketagih seks sejenis dan beberapa kali terlanjur dengan rakan lain.
Saya mahu berubah, tolonglah Dr saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk mengubah kehidupan dilaknati ini.
Huru hara
Klang, Selangor
AHLI psikologi terkenal, Sigmund Freud menjelaskan apabila manusia dikuasai unsur ID, mereka hanya akan memikirkan keseronokan tanpa mempedulikan realiti, pertimbangan akal, logik mahupun nilai moral. Matlamatnya hanyalah untuk memuaskan nafsu naluri semata-mata.
Dr melihat perhubungan seks sejenis yang dilakukan adik adalah hanya untuk memuaskan ID dan berpaksi kepada nafsu keseronokan, bukannya perasaan menyesal yang bersarang dalam diri.
Buktinya, adik masih melakukannya lagi selepas kali pertama ia dilakukan hingga ketagih meskipun pada masa sama wujud keengganan dalam diri mahu menghentikannya.
Seks sejenis kini sudah menjadi amalan biasa kepada individu terutama jika berjawatan tinggi, golongan tidak sosial dan pengkid. Dalam masalah adik, perlakuan itu bermula hanya kerana terasa terhutang budi.
Adik sebenarnya mempunyai pilihan untuk menentukan arah tujuan hidup. Tidak semestinya jika kita terhutang budi pada seseorang, perlu mengorbankan prinsip atau pegangan agama.
Manusia yang diberi akal bertanggungjawab atas tingkah laku sendiri, adik boleh pilih jalan yang dirasakan mampu memberi kebahagiaan dan berada pada lunas yang diterima masyarakat bukannya terpaksa melakukan hubungan itu kerana budi.
Meskipun mereka sudah banyak membantu, bukan alasan adik perlu mengikut kehendak songsang itu dan merelakan diri melayang nafsu. Ini kerana jika adik tidak mahu, perhubungan seks itu tidak akan berlaku.
Apa yang terjadi boleh dikategorikan sebagai satu bentuk penderaan seksual hubungan sejenis kerana ia satu pola tingkah laku yang digunakan bagi mendapatkan kawalan dalam sesuatu hubungan.
Penderaan ini boleh berlaku dalam pelbagai aspek sama ada psikologi, emosi, ekonomi dan lain lain.
Untuk mengelaknya, adik boleh mencari beberapa alternatif, antaranya berpindah supaya tidak terus terjebak atau dipujuk rayu. Walaupun menerusi tindakan itu adik tidak lagi mendapat bantuan mereka, adik dapat melepaskan diri daripada cengkaman mereka yang hanya mahu memanipulasi keadaan.
Jika tidak berpindah, adik boleh bersikap agresif supaya mereka tahu pendirian adik yang mahu berhenti melakukannya. Adalah salah jika mereka terus memaksa.
Terpulanglah kepada adik untuk menentukan tindakan diambil. Apapun, Dr ucapkan tahniah kerana adik ingin berhenti daripada melakukan perkara terkutuk itu.
Kembalilah kepada kehidupan normal kerana masih ramai lagi lelaki yang boleh disandarkan harapan menjadi suami bagi menyalurkan nafsu secara sah.
Lebih penting, menghindarkan diri daripada menjadi makhluk tuhan yang dikutuk serta berdosa.