Sejak aku nampak ekor tikus di dapur rumah aku , aku dah kena hati hati. Aku rasa aku dah tutup semua laluan yang membolehkan puak ni masuk curi curi ! Hurm.. ke ada yang berjaya masuk tapi gagal keluar ? Visa pelancong dah tamat tapi nak menetap terus kat dapur ke ? Huh..
Aku gi Mr. DIY cari perangkap tikus. Nasib baik aku pernah ada pengalaman menjerat tikus bersama arwah ayah. Selepas beli perangkap tikus , aku layorkan atas api di dapur. Hilangkan bau cat perangkap tu. Kononnya la.
Selesai part tu , part ni yang selalu jadi masalah. UMPAN ! Nak letak apa ? Kalau dulu , kepala ikan goreng jadi umpan terbaik. Tapi takda ikan goreng lak. Takkan nak letak whey protein ? Sado juga nanti tikus tu.
Aku google cari jawapan. Old skol gitu ! Masih ada ke orang nak menggoogle cari jawapan ? Skang ni orang kata cari jawapan kat Tiktok je. Heee.. ramai je sebenarnya. Membaca lagi senang nak tangkap dari menonton. Siap ada rujukan mahupun dalil sahih untuk pengesahan fakta tersebut. Hahaha..
Ok.. jumpa ! Guna kekacang paling terbaik. Maklumlah , kekadang tikus ni rasa diorang adik beradik tupai. Nak gak la makan kacang.. gitu ! Maka aku letak la walnut. Fuh, walnut ni biasanya aku letakkan sekali dalam whey protein aku. Blend sama sama. Baru padu !
Hari demi hari.. silih berganti ! Perangkap tersebut sunyi sepi. Alhamdulillah. aku memang berharap takda tikus gi masuk dalam tu. Nanti jadi masalah untuk aku lak. Tak sanggup aku nak bunuh dia nanti. Mana la tau dia tu chef di kalangan kaum dia. Argh , banyak tengok citer kartun aku ni.
Tup tup.. tengahari tadi , lepas jemput Aariz pulang dari KAFA , jalan cerita berubah. Aariz yang berada di dapur bertanya pada aku mengenai 'kehadiran' seekor tikus di dalam perangkap ! Aku macam tak percaya jer ! Aku bukak mata luas luas !
Huk alohhhh...bapok besar ! Camana ko leh masuk ni ???? Patutlah aku ada dengar bunyi bunyian di malam hari kat dapur tu. Kerja ekau rupanya ! Iskh iskh iskh.... Nasib ko la labu. Sapa suruh ko masuk rumah aku ni.
Persoalannya sekarang, ko masuk ikut mana ??????
Dia tak nak jawab.
Terpaksa aku guna cara KGB ! Aku tenung mata dia dengan harapan dia takut ! Huh... dia jeling manja pada aku dengan harapan aku lepaskan dia. Hampir tergoda juga aku tapi aku kentalkan jiwa dan perasaan aku. Jangan tergoda pada pujuk rayu tikus itu !
Apakah yang perlu aku buat dengan dia ni ??? Aku gunakan kelebihan yang aku ada.. Tanya pada kawan kawan di Facebook. Dan Alhamdulillah, ramai kasi pendapat. Aku ingat nak guna cara arwah ayah aku tapi aku tak sanggup lak.
Akhirnya aku rujuk pada yang pakar dan arif... Maka aku dapatlah jawapannya..
" Hukum membunuh binatang perosak adalah dibolehkan kerana boleh mendatangkan gangguan ditambah lagi dengan tabiat haiwan perosak tersebut yang jelas membawa keburukan baik dari persekitaran mahupun kesihatan. Meskipun syara’ mengharuskan membunuh haiwan perosak ini, maka berlaku ihsan dalam membunuhnya juga adalah dituntut berdasarkan hadis yang telah dikemukakan pada perbincangan di atas.
Hendaklah mereka yang memasang jerat sentiasa memantau keadaan jerat tersebut dan jika didapati mengena sasaran, maka segeralah membunuhnya. " - Muftiwp
Awalnya aku rancang nak jemur dia sampai mati. Tapi memikirkan part kena segerakan tanpa ada penyeksaan tu , maka aku pun amik besen biru aku yang lejen tu. Isi air penuh penuh dan masukkan perangkap tikus tu ke dalam besen biru tersebut. Begitulah nasibnya..... Maaf, tiada gambar. Kemudian aku selesaikan bangkainya. Buang dalam tong sampah jer. Huhu..
Selesai part tu, aku ke dapur. Aku gi check saluran air yang baru baru ni, ada kesan pecah. Aku dah tampal lubang tu. Rupa rupanya dah ditembusi semula ! Huhhh. Situ rupanya dia masuk ! Geram punya pasal.. terus aku ajak Qhaliff ke Mr. DIY. Beli beberapa barang untuk tutup lubang tu antaranya penutup lubang dan salutape PVC. Hahahaa...
Selepas aku tukar penutup tu, aku salutape atas dia. Jangan ada kasi cahaya. Bukan apa.. diorang dah tau ada lalu menarik situ. Bila ada cahaya , nanti diorang akan usaha potong sikit sikit. Lama lama , masuk balik mereka. Fuh , dasat imaginasi aku. Macam pernah duduk bermesyuarat je ngan tikus tikus tu. Hahahaha..
Apa apa pun.. buat masa ni, Alhamdulillah.. selesai dah masalah aku pasal tikus ni. Semalam , pasal lubang tandas bilik air sumbat. Dah terbang RM300. Adeh... macam macam ada dalam lubang tu. Maklumlah 3 orang anak kecil dulu mandi.. macam macam la mainan ada !