BANTING: Sambil memohon maaf kepada keluarga mangsa dan rakyat Malaysia, dua pekerja ladang mengaku mengangkat, membakar dan membuang abu mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya; pemandunya, Kamaruddin Shamsudin; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad.
Dengan wajah tenang, K Sarawanan, 19, dan U Suresh, 26, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, terhadap pertuduhan menghilangkan bukti dengan cara membakar mayat dan membuang abu mayat keempat-empat mangsa bagi mengelakkan tertuduh utama dalam kes pembunuhan itu dikenakan tindakan undang-undang.
Majistret Hurman Hussain menjatuhkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun kepada kedua-dua tertuduh bagi empat pertuduhan itu dan memerintahkan ia berjalan serentak mulai tarikh mereka ditangkap iaitu 9 September lalu.
Ketika diberi peluang bercakap, Sarawanan dan Suresh dengan nada perlahan dalam bahasa Tamil memohon maaf terhadap perbuatan mereka sebelum diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh jurubahasa mahkamah.
“Saya memohon maaf kepada keluarga mangsa dan masyarakat atas perbuatan saya. Saya sudah insaf,” kata kedua-dua tertuduh.
Sarawanan didakwa menghilangkan bukti yang menjadi satu kesalahan serius dengan sengaja membakar mayat keempat-empat mangsa dengan niat untuk mengelakkan N Pathmanabhan, T Thilaiyalagan, R Matan dan R Kathavarayan daripada seksaan undang-undang.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, pada jam 9.45 malam hingga jam 12 tengah malam, 30 Ogos lalu.
Berdasarkan fakta kes, Sarawanan didakwa melihat keempat-empat mangsa dibunuh Thilaiyalagan. Dia diarahkan Thilaiyalagan dan Matan untuk mengambil petrol dan diesel yang diletakkan di hadapan sebuah rumah pekerja ladang.
Tertuduh kemudian membawa dua tong putih dan menyerahkan kepada Thilaiyalagan dan Matan sebelum ketiga-tiga mereka mengangkat mayat semua mangsa untuk diletakkan di atas longgokan kayu yang sudah disusun.
Ketiga-tiga mereka juga menyusun kayu di atas keempat-empat mangsa sebelum mencurahkan minyak. Tertuduh bersama Matan membakar semua mayat itu.
Suresh pula didakwa menghilangkan bukti berkaitan kesalahan tertuduh utama dengan sengaja membuang abu mayat keempat-empat mangsa ke dalam Sungai Panchau, Jalan Morib, Banting, pada masa dan tarikh sama, juga bagi mengelakkan Pathmanabhan, Thilaiyalagan, Matan, dan Kathavarayan daripada seksaan undang-undang.
Berdasarkan fakta kes juga, ketika kejadian, Suresh yang berada di ladang milik Pathmanabhan didakwa melihat Thilaiyagan dan Matan memungut sesuatu di tempat pembakaran berhampiran pondok di ladang itu dan memasukkannya ke dalam tong biru.
Suresh bertanya kepada Thilaiyagan serta Matan dan diberitahu ia berisi abu mayat empat mangsa yang mereka bunuh dan bakar pada malam kejadian.
Pekerja ladang itu mendakwa melihat Kathavarayan membawa sebuah kenderaan pikap Isuzu D-Max ke tempat abu mayat itu dipungut. Setibanya di situ, Thilaiyagan dan Matan mengangkat tong biru yang mengandungi abu mayat ke dalam kenderaan berkenaan.
Selepas itu, dia bersama Thilaiyagan dan Kathavarayan pergi ke Sungai Panchau, untuk membuang abu mayat itu. Kathavarayan mencurah abu mayat itu ke dalam sungai bersama tong sekali.
sumber : HMETRO