Berkuatkuasa esok, semua saman trafik yang diselesaikan dalam tempoh 15 hari akan diberi insentif 50 peratus dari kadar kompaun sebenar.
Insentif berkenaan bagaimanapun hanya untuk saman yang dikeluarkan selepas 30 November 2010.
Trafik PDRM dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menawarkan satu kadar kompaun munasabah bagi semua saman trafik mengikut ketetapan.
Bagi saman yang dikeluarkan pada atau sebelum 30 November 2010, kadar munasabah akan diberikan secara automatik bagi semua kaedah pembayaran sama ada di kaunter trafik, pejabat pos atau internet.
Namun kenyataan tersebut tidak menyatakan kadarnya.
Manakala bagi saman yang dikeluarkan selepas 30 November, insentif akan diberikan secara automatik.
Jika diselesaikan dalam tempoh 15 hari, insentif 50 peratus dari kadar kompaun sebenar diberi.
Selepas tempoh itu sehingga hari ke-30, insentif 30 peratus.
Bagi yang gagal menjelaskan saman dalam tempoh berkenaan, bukan sahaja tidak akan mendapat sebarang insentif, malah berdepan tindakan disenarai hitam.
Orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan boleh berhubung dengan mana-mana pegawai trafik daerah, kontigen atau Bukit Aman.