Penyembuh kepada pelbagai penyakit !

by - Isnin, Julai 18, 2022

Dulu aku tak percaya semua ni ! Aku anggap dongeng semata mata. Tapi bila dah tua ni, baru nak sedar diri. Nasib baik tak terlambat lagi. Apa maksud aku ? Kesihatan perut amatlah penting ! Tapi aku endah tak endah jer. Bayangkan kalau makan mee segera , aku boleh buat 3-4 bungkus untuk aku sorang jer ! Kalau melantak nasi kandar , boleh sampai 2 pinggan dan makan durian 2-3 biji aku sorang je. Tu belum layan air Coke atau 100 Plus ! Ya Allah... punya la takut bila kenangkan semula. 

Tapi kau hidup je sampai sekarang ???? Kata segelintir yang baca entri ni. Kan ? Yer.. tu pun aku insaf selepas aku alami beberapa kejadian seperti aku dapat tekanan darah tinggi yang mana sebelum tu aku rasa ianya cuma satu penyakit yang biasa biasa sehinggalah beberapa orang kawan aku meninggal dunia kerana penyakit ini ! Dia datang terus tangkap otak pastu kena buat pembedahan di otak seterusnya koma. Beberapa minggu kemudian baru meninggal dunia. Seronok ? 

Pastu aku sendiri tengok di hospital ketika aku menjaga arwah ayah aku yang sakit kanser. Lihat mereka yang muda muda lagi terdampar dalam hospital atau faktor pelbagai penyakit seperti kanser paru paru , diabetis , tekanan darah tinggi dan banyak lagi. 

Alhamdulillah.. berkat jadi blogger ni , aku dapat buat pelbagai jenis review. Setiap kali review dibuat , aku dapat ilmu baru. Yang paling meninggalkan kesan ialah mengenai pemakanan. Nampak mudah walhal gagal untuk mengamalkan ! 

" Alaaa..puasa dah la ! Atau diet ! "

Ramai pikir gitu. Betul dah puasa atau jaga keseimbangan pengambilan makanan tapi ramai yang gagal. Kononnya alasan  dah puasa atau off diet ! Belasah makan apa saja. Nikmati kehidupan katanya. Bukan selalu pun ! Tapi masalahnya , tiap tiap minggu macam tu. Jenuh. 

Sekarang ni, kita dah nampak pelbagai jenis penyakit yang berpunca dari pemakanan kita ! Teringat ketika aku amik vaksin dos pertama. Selepas tu aku kerap kembung perut. Atau mudah diserang panik mahupun jantung berdebar debar yang macam nak pecah je dada ! Pantang baca berita negatif di media sosial, aku jadi stress. 

Sehinggalah aku dapata tahu yang punca utama jadi macam ialah kandungan kafein yang terlampau di dalam badan ! Bila aku ingat ingat semula, memang aku banyak amik minuman yang tinggi kafein sebelum Covid 19 menyerang dunia. Pastu sebelum amik vaksin pun , aku bantai minum kopi kopi yang tinggi gula. 

Aku berhenti. Aku 'cuci'. Aku buat jus jus hijau dan campuran buah dan sayur. Ada yang tak percaya. Gelak jer. Tak pe la. Aku percaya sebab aku dah buat dan berjaya turunkan tekanan darah aku , satu tika dulu. Malah pernah ke satu pusat kesihatan untuk dalami ilmu detox. Ternyata memang benar. Cuma aku 'terlupa' untuk memanfaatkannya. 

Selepas aku betulkan kembali dan berhenti minum kopi , dos kedua dan booster , Alhamdulillah.. takda masalah ! Takda beri kesan sampingan pun. Sejak tu , aku terus berhenti minum kopi. Cuma minum bila sang isteri ajak ! Sehinggalah dia diserang gastrik , barulah kami berhenti terus. Alhamdulillah, banyak sangat perubahan selepas tu. 

Baru baru ni,  aku kena Covid 19. Sebelum ni , aku cukup punya takut kalau kena. Apalah akan jadi sebab aku pernah ada Hypertension. Risau ! Tapi selepas aku jaga 'perut' , perasaan takut tu takda dah. Aku redha je pada Allah. Bila kena tu , aku cam... " Oh, aku kena Covid dah. " Terus aku asingkan diri dan berehat. 

Ubat ubat dah lama ada. Simpanan kecemasan. Tapi aku fokus pada herba. Halia , cengkih , kulit kayu manis dan madu. Aku minta sang isteri buatkan dengan kerap. Aku minum tiap pagi , tengahari dan malam.  Lepas minum tu baru aku makan ubat seperti Panadol dan ubat batuk. Alhamdulillah, sangat cepat mujarab. Demam , suhu sekitar 38. Tu pun sekejap jer. Pedih tekak, sehari dua tapi makan takda masalah. Tiap kali rasa pedih tekak, aku telan madu. Gula gula untuk kurangkan sakit tekak tu, membantu skit je la. Ternyata madu lebih mujarab. 




Selepas abis kuaratin , aku masih ada batuk batuk tapi tak teruk. Aku terus minum air halia ditambah madu dan lemon. Setiap kali batuk , memang akan keluar kahak yang berketul. Boleh kira la batuk aku dalam sehari. Dan Alhamdulillah , selepas beberapa hari.. ok dah. 

Lesu badan terasa beberapa hari. Tu pun aku rasa punca dari ubat ubat yang aku makan. Nak kasi hilang kesannya , aku banyakkan amik herba dan kerap bersenam. Tak boleh nak tidur jer. Tak bagus sangat untuk tubuh badan. 

Kesimpulannya.... mudah jer. Untuk elak dari kena penyakit , jagalah perut. Untuk sembuh dari penyakit , jagalah perut. Perut ni enjin utama tubuh badan kita. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf, ayat 31).

Shaykh Muhammad ‘Abd ar-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya Tuhfat al-Ahwazi ketika mensyarahkan Jami’ al-Tirmidzi menyatakan, perut yang penuh dengan makanan akan menyebabkan kerosakan agama dan dunia (tubuh badan).

Rasulullah SAW menunjukkan tatacara pengambilan makanan penuh sederhana.

“Tidak ada ruang yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya, cukuplah baginya memakan beberapa suapan sekadar dapat menegakkan tulang punggungnya (memberikan tenaga). Jika tidak mampu, maka ia dapat memenuhkan perutnya dengan sepertiga makanan, sepertiga minuman dan sepertiga lagi untuk nafasnya.” (Hadis riwayat Ahmad)


 






Satu lagi perkara penting adalah memperbanyakkan minum air kosong. Kepentingan minum enam hingga lapan gelas air kosong setiap hari perlu bagi fungsi fisiologi dalam badan, mengawal suhu tubuh dan perkumuhan..Selain itu, air kosong juga dapat melindungi organ dan tisu dalam badan manusia. Minumlah air kosong walaupun tidak berasa haus.

Islam bukan sahaja mementingkan makanan halal, tetapi makanan yang baik untuk kesihatan badan. Apabila badan tidak sihat, pelbagai perancangan akan terjejas dan pergerakan menjadi amat terbatas. 


Sumber tambahan : Harian Metro.

You May Also Like

0 comments