Puasa Ramadhan: Antara Yang Ditokok Tambah.
Puasa Ramadhan: Antara Yang Ditinggalkan dan Ditokok Tambah.
Oleh
Hafiz Firdaus Abdullah
Perkara yang ditokok tambah
[1] Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan membatalkan puasa
Tumpuan kita yang pertama kepada perkara yang ditokok tambah ialah hukum memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan membatalkan puasa. Contohnya:
1. Memasukkan pen ke dalam mulut membatalkan puasa.
2. Menelan air liur membatalkan puasa.
3. Mengorek telinga atau membersihkan telinga dengan cotton buds membatalkan puasa.
4. Mengorek hidung atau debu pasir yang masuk ke dalam hidung membatalkan puasa.
5. Membuang air besar tanpa meneran sepenuhnya agar najis keluar sekali gus membatalkan puasa.
Semua di atas dan pelbagai lagi yang seumpama adalah hukum yang ditokok tambah ke dalam ibadah puasa sehingga benar-benar memberatkan umat Islam. Syaikh Yusuf al-Qaradhawi menulis:[12]
Para ahli fiqh radhiallahu 'anhum telah memperluas pembahasan hal-hal yang membatalkan puasa sedemikian rupa sehingga saya tidak yakin hal-hal tersebut pernah terfikir di benak seorang jua daripada para sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, yakni orang-orang yang menyaksikan secara langsung penurunan al-Qur’an, yang memahami secara terus pesanan Allah dan Rasul-Nya dengan sebaik-baik pemahaman dan yang berpegang teguh kepadanya dengan sebaik-baiknya.
Banyak ahli fiqh telah memperlebarkan wilayah pembahasan akan hal-hal yang dianggap membatalkan puasa. Para fuqaha Mazhab Hanafi telah menyebut sekitar 57 perkara manakala fuqaha Mazhab al-Syafi‘e tidak kalah banyaknya. Sejumlah ulama’ masa kini bahkan memperincikan hal-hal yang dapat membatalkan puasa secara aneh. Mereka membuat kaedah-kaedah lalu membangun di atasnya cabang-cabang persoalan yang tidak terhitung bilangannya. Namun kaedah-kaedah itu sendiri tidak didasarkan kepada dalil-dalil yang kuat daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Ada di antara mereka yang berkata bahawa kemasukan sesuatu benda, seperti kerikil umpamanya, ke dalam rongga badan orang yang berpuasa akan membatalkan puasanya.
Yang sebenarnya membatalkan puasa hanyalah tiga perkara iaitu bersetubuh, makan dan minum. Allah 'Azza wa Jalla berfirman:
Maka sekarang (1) setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan (2) makanlah serta (3) minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib). [al-Baqarah 2:187]
Makanan dan minuman yang membatalkan puasa terbahagi kepada dua kategori:
Pertama:
Sesuatu yang mengenyangkan dan/atau menghilangkan dahaga secara hakiki kepada orang yang mengambilnya, sekali pun dalam jumlah yang sedikit.
Apa-apa makanan yang diambil secara sengaja dan sampai ke perut, maka ia membatalkan puasa. Apa-apa minuman yang diambil secara sengaja dan melalui tenggorok, maka ia membatalkan puasa. Apa-apa zat makanan yang dimasukkan ke dalam darah melalui suntikan, umpama glukosa yang diberikan kepada pesakit yang tidak dapat makan dan minum seperti biasa, ia juga membatalkan puasa.[13]
Maka dengan itu apa-apa benda, makanan atau minuman yang dimasukkan ke dalam rongga-rongga manusia, ia tidaklah membatalkan puasa. Contohnya, memasukkan pen ke dalam mulut, menggosok gigi, berkumur-kumur, membersihkan telinga, mengorek hidung, menggunakan ubat titisan mata, menyedut debu, peneranan yang tidak sempurna ketika membuang air besar dan pelbagai lagi, semua ini tidak membatalkan puasa.
Merasai makanan yang sedang dimasak tidak membatalkan puasa asalkan ia dikeluarkan semula. Baki makanan yang ditemui terselit di celah-celah gigi tidak membatalkan puasa asalkan ia tidak ditelan secara sengaja. Menelan air liur, sengaja atau tidak sengaja, juga tidak membatalkan puasa. Air liur tidak pernah dianggap di sisi manusia yang normal sebagai minuman. Seandainya air liur adalah sejenis minuman, nescaya tidak ada manusia yang mati kehausan jika terdampar di padang pasir.
Demikian juga, mengambil suntikan insulin bagi pesakit kencing manis dan menggunakan alat melegakan pernafasan bagi pesakit asma, ia tidaklah membatalkan puasa.
Timbul persoalan, adakah menelan ubat tanpa disertai apa-apa minuman membatalkan puasa? Contohnya seorang berpuasa yang menghadapi pening kepala, lalu dia menelan dua biji Panadol. Adakah ini membatalkan puasa? Yang benar dia tidak perlu meneruskan puasanya kerana sakit yang dihadapinya adalah salah satu bentuk keuzuran yang membolehkan dia berbuka. Maka berbuka adalah lebih utama daripada menjerumuskan diri ke dalam sesuatu yang diperselisihkan hukumnya.
Kedua:
Sesuatu yang mengenyangkan dan/atau menghilangkan dahaga secara psikologi sekali pun dalam jumlah yang sedikit. Ia bukanlah makanan dan minuman tetapi mengambilnya memberi kesan psikologi berupa kepuasan atau kenikmatan yang mengenyangkan dan/atau menghilangkan dahaga bagi nafsu.
Contohnya ialah orang yang menghisap rokok. Asap rokok bukanlah makanan atau minuman tetapi bagi penghisap rokok, ia adalah suatu nikmat umpama makanan yang memuaskan mereka. Maka menghisap rokok membatalkan puasa. Akan tetapi bagi orang di sekitarnya yang terhisap asap rokok tersebut (secondary smoker), ia tidak membatalkan puasa kerana asap rokok tersebut bukanlah satu nikmat bagi diri mereka.
Tetap pada contoh asap, menyedut asap kenderaan di lalulintas yang sesak tidak dianggap membatalkan puasa. Ini kerana asap kenderaan bagi manusia yang norma, tanpa dibezakan dia penghisap rokok atau tidak, bukanlah suatu nikmat yang memuaskan.
Contoh lain ialah menghisap dadah atau mengambil dadah melalui suntikan. Dadah bukanlah makanan atau minuman tetapi bagi penagih dadah, ia adalah suatu nikmat umpama makanan yang memuaskan mereka. Maka menghisap atau menagih dadah membatalkan puasa.
Dalil bagi apa yang disebut dalam kategori kedua ini ialah hadis daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda bahawa Allah berfirman (Hadis Qudsi):
Setiap amal anak Adam adalah bagi dirinya…kecuali puasa maka ia adalah untuk Aku dan Aku sendiri akan membalasnya. Dia (anak Adam) meninggalkan makanan kerana Aku dan meninggalkan minuman kerana Aku dan meninggalkan kenikmatan kerana Aku dan meninggalkan isterinya (tidak bersetubuh) kerana Aku.[14]
Yang dimaksudkan dengan meninggalkan kenikmatan bukanlah semua bentuk nikmat seperti tidur, mandi dan sebagainya. Akan tetapi ia adalah nikmat yang terhasil pada diri seseorang seumpama makan dan minum.
Daripada penjelasan di atas, jelas bahawa dalam kebanyakan aktiviti seharian kita yang normal, tidak ada sesuatu yang menyebabkan terbatalnya puasa. Antara hikmah berpuasa adalah mendisiplinkan diri daripada bersetubuh, makan, minum dan sesuatu kenikmatan yang seumpama makan dan minum pada siang hari. Menokok tambah hukum bahawa kononnya memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan membatalkan puasa tidak ditemui dalilnya daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ia juga tidak memiliki apa-apa peranan mahupun manfaat dari sudut hikmah disyari‘atkan berpuasa.
Dalil yang lazimnya digunakan oleh pihak yang mengatakan batal puasa bagi seseorang yang memasuk sesuatu ke dalam rongga badannya ialah hadis berikut:
Sempurnakanlah wudhu’ dan bersungguh-sungguhlah dalam menyedut air ke dalam hidung (dan menghembusnya) kecuali jika kamu sedang berpuasa.[15]
Berdasarkan sabda Rasulullah “…kecuali jika kamu sedang berpuasa” mereka memahami bahawa seseorang itu dilarang menyedut air ke dalam hidung apabila sedang mengambil wudhu’ dalam keadaan berpuasa. Jika dimasukkan air, ia akan membatalkan puasa. Kemudian fahaman ini diluaskan kepada semua rongga tubuh badan berdasarkan analogi (qiyas).
Fahaman ini adalah tidak tepat kerana pengecualian yang dimaksudkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bukan ditujukan kepada menyedut air ke dalam hidung tetapi kepada “bersungguh-sungguh” dalam penyedutan tersebut. Dalam erti kata lain yang dimaksudkan oleh Rasulullah ialah, apabila berwudhu’ dalam keadaan berpuasa, tidak perlu bersungguh-sungguh menyedut air ke dalam hidung kerana dibimbangi sebahagiannya akan masuk jauh ke dalam sehingga sampai ke tenggorok dan ditelan sebagai “minuman.”[16]
[2] Mewajibkan lafaz niat
Membaca lafaz niat untuk berpuasa atau untuk apa-apa ibadah lain seperti wudhu dan solat sebenarnya adalah tidak perlu, jauh sekali daripada bersifat wajib. Yang wajib adalah seseorang itu mengetahui dengan sedar ibadah apa yang bakal dilakukannya. Jika seseorang itu lazimnya diganggu dengan perasaan was-was, maka dianjurkan melintaskan di dalam hati sekadar “Inilah puasa aku” atau “Inilah solat Zohor aku”. Jika masih was-was maka boleh menyebutnya secara lisan untuk mengukuhkan lintasan hati. Jika setelah itu masih was-was, maka janganlah diberi perhatian kerana ia tidak lain adalah permainan syaitan.
[3] Menetapkan waktu imsak
Menetapkan waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum masuknya waktu Subuh adalah satu ketetapan yang tidak ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, malah ia menjauhi tuntutan sunnah untuk mengakhirkan waktu sahur. Alasan “berhati-hati” adalah tidak perlu kerana kita dibolehkan makan dan minum sehingga jelas masuknya waktu Subuh. Allah 'Azza wa Jalla berfirman:
Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. [al-Baqarah 2:187]
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
“Sesungguhnya Bilal azan ketika waktu masih malam, oleh itu makanlah dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan.” (Perawi menerangkan): “Beliau (Ibn Ummi Maktum) adalah seorang yang buta, dia tidak akan melaungkan azan sehingga dikatakan kepadanya: Waktu Subuh telah masuk, waktu Subuh telah masuk.”[17]
Dalam ayat dan hadis di atas, jelas bahawa dibolehkan untuk bersahur, yakni makan dan minum, sehingga jelas terbitnya fajar atau dilaungkan azan Subuh. Tidak wujud waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum waktu Subuh.
[4] Menghukum makruh jika mandi ketika puasa
Antara hukum yang ditokok tambah ialah kononnya makruh untuk mandi pada petang hari ketika berpuasa. Yang benar hukumnya adalah sunnah kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menyiram air ke kepalanya kerana haus atau panas. Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman radhiallahu 'anh berkata:
Aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di al-Arj (sebuah tempat), baginda menyiram air ke kepalanya sedangkan pada waktu itu baginda berpuasa. Yang demikian itu kerana kehausan atau kepanasan.[18]
Berkata al-Imam Syams al-Haq al-‘Azhim rahimahullah:[19]
Dalam hadis ini terdapat dalil bahawa dibolehkan bagi orang yang berpuasa yang merasai kepanasan untuk menyiram air ke atas sebahagian badannya atau keseluruhan badannya. Ini merupakan pendapat jumhur dan mereka tidak membezakan antara mandi kerana suasana genting, sekadar perlu atau tanpa apa-apa alasan sekalipun.
[5] Qadha dua kali apabila berbuka dalam puasa qadha
Termasuk hukum yang ditokok tambah adalah, jika seseorang itu sedang mengqadha puasa lalu dia membuka puasa tersebut sama ada kerana sengaja atau tidak, maka dia perlu mengqadha sebanyak dua puasa, yang pertama puasanya yang asal manakala yang kedua adalah puasa qadha yang dibukanya itu. Contoh, jika seorang muslimah sedang berpuasa untuk menqadha puasa Ramadhannya yang lalu, kemudian pada siang hari dia didatangi haid sehingga terpaksalah dia berbuka, maka kononnya dia diwajibkan qadha dua kali, pertama adalah mengqadha puasa Ramadhan yang lalu, kedua mengqadha puasa qadha yang dibukanya.
Yang benar muslimah tersebut hanya perlu mengqadha sekali, iaitu puasa Ramadhan yang lalu. Demikian juga, sesiapa yang membuka puasa qadhanya maka kewajipan dia hanya mengqadha sekali, iaitu puasa asal yang perlu diqadhanya. Ini kerana maksud “qadha” ialah melaksanakan suatu ibadah di luar waktunya dan kewajipan mengqadha hanyalah ke atas ibadah yang sepatutnya dilaksanakan dalam waktunya yang asal. Tidak ada qadha ke atas ibadah yang sedang dilakukan di luar waktunya yang asal.
[6] Membayar fidyah jika puasa qadha ditunda ke tahun seterusnya.
Sebahagian pendapat menyatakan, jika seseorang itu memiliki sejumlah puasa Ramadhan yang perlu diqadha, lalu dia tidak mengqadha dalam tahun tersebut sehingga menundanya ke tahun hadapan, dia wajib membayar fidyah sebagai denda di atas penundaan tersebut. Pembayaran fidyah ialah sekali makanan yang mengenyangkan mewakili setiap hari bagi setiap tahun yang ditunda. Dalam hal ini terdapat perbezaan pendapat sebagaimana jelas Syaikh Yusuf al-Qaradhawi:[20]
Adapun jika penundaan puasa qadha terjadi tanpa keuzuran, maka ada keterangan daripada sejumlah sahabat yang mengatakan bahawa dia wajib memberi makan orang miskin (fidyah) setiap hari sebagai denda bagi penundaannya. Pendapat ini dipegang oleh Malik, al-Tsauri, al-Syafi‘e, Ahmad dan lain-lain.
Ada pendapat lain yang menyebut bahawa hal itu (penundaan puasa qadha) tidak menuntut apa pun selain qadha. Ini adalah pendapat al-Nakha‘e, Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya serta dikuatkan oleh pengarang kitab al-Raudhah al-Nadiyah. Ini kerana tidak ada dalil apa jua tentang hal itu (penundaan puasa qadha) yang dapat disandarkan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Jika ada sekali pun, paling kuat ia adalah kata-kata sekelompok sahabat. Tentu ini bukan hujah bagi seseorang kerana kita tidak boleh beribadah kepada Allah dengan hujah seseorang. Oleh itu kerana itu, hukum bagi hal ini (penundaan puasa qadha) adalah neutral dan dikembalikan kepada dasarnya (iaitu qadha sahaja tanpa fidyah). Tidak boleh menggunakan nukilan daripada kata-kata sahabat (dalam bab hukum-hakam) melainkan hadis (Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam) yang sahih.
Saya (Syaikh al-Qaradhawi) melihat bahawa mengambil dalil daripada kalangan sahabat hanyalah sekadar hal-hal yang sunat, bukan wajib. Adapun yang wajib, kita memerlukan nas dalil daripada yang maksum (yakni Rasulullah) dan ini tidak kita perolehi.
Oleh itu dalam persoalan ini, yang lebih mendekati kebenaran ialah tidak perlu membayar fidyah. Seseorang yang menunda puasa qadhanya ke tahun seterusnya hanya wajib mengqadha, tidak lebih dari itu.
[7] Puasa dua dalam satu
Dalam sebahagian kitab fiqh disebut bahawa dibolehkan melaksanakan dua atau lebih puasa di dalam satu hari. Berdasarkan pendapat ini, merupakan satu kelaziman bagi sebahagian orang untuk melaksanakan kedua-dua puasa qadha dan puasa sunat Syawal dalam satu hari. Kebolehan menggabungkan dua atau lebih puasa di dalam satu hari adalah pendapat semata-mata dan sehingga kini tidak ditemui dalil yang membolehkannya daripada al-Qur’an mahupun al-Sunnah yang sahih.
Di sini perlu digariskan bahawa manhaj kita dalam beribadah ialah berhenti sehingga diperolehi dalil yang sahih lagi muktamad (qath‘e) yang mensyari‘atkannya. Kita sebagai hamba tidak tahu apa, bila dan bagaimana bentuk ibadah yang akan diterima dan diredhai oleh tuhan yang kita sembah, iaitu Allah 'Azza wa Jalla. Oleh itu kita hanya beribadah sekadar apa yang disyari‘atkan tanpa menambah atau mengubahsuainya. Pendapat manusia, sekalipun kita menghormati dan menyanjunginya, tidak boleh dijadikan hujah untuk menambah atau mengubahsuai sesuatu ibadah.
Justeru yang benar tidak ada amalan menggabungkan dua atau lebih puasa di dalam satu hari. Setiap puasa hendaklah dilaksanakan dalam harinya yang tertentu. Prof. Dr. Hasbi al-Shiddieqie rahimahullah menjelaskan:[21]
Kemudian hendaklah diketahui bahawa mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat. Dalilnya ialah firman Allah: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya. (Maksud Surah al-Baiyinah 98:05).
Ikhlas yang dimaksudkan dalam firman Allah ini ialah mengikhlaskan amal ibadah yang disuruh dengan cara yang disuruh. Demikian menurut Imam Malik, al-Shafi‘e dan Abu Sulaiman. Kemudian perhatikanlah pula hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim daripada A'isyah radhiallahu 'anha bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Barangsiapa yang mengamalkan sesuatu amal yang tidak ada atasnya tuntutan (ajaran) kami, maka amalnya itu tertolak.
Maka sesiapa mencampur adukkan sesuatu amalan dengan amalan lain, bererti telah melakukan suatu amal yang tiada dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan tiada dibenarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Kerana itu, amalan sebegini tidak diterima.
Tidak dinafikan bahawa amalan puasa “dua dalam satu” rancak disebut-sebut dalam akhbar, majalah, televisyen, radio, ceramah, kuliah, khutbah dan sebagainya. Tidak kurang juga, orang-orang yang menyebutnya adalah mereka yang masyhur dalam menyampaikan cerita-cerita agama. Akan tetapi jika dicermati analisa secara mendalam, akan didapati bahawa apa yang mereka sampaikan adalah pendapat semata-mata tanpa ada dalil yang sahih lagi muktamad yang mendukunginya.
Di sini penulis ingin menasihatkan para pembaca sekalian bahawa kebenaran agama tidak dinilai oleh kemasyhuran seseorang tetapi berdasarkan dalil dan hujah yang disampaikannya. Jika dalam pelbagai urusan duniawi kita semua menekankan nilai fakta dan penelitian, maka hendaklah penekanan yang sama kita praktikkan dalam menerima sesuatu ajaran agama.
Demikian beberapa perkara yang ditinggalkan dan yang ditokok tambah berkenaan amalan dan hukum puasa yang sempat dibicarakan dalam risalah ini. Perkara-perkara yang dibicarakan merupakan apa yang lazim ditanya dan dibincang bersama penulis dalam kuliah-kuliah dan soal-jawab e-mel. Pasti sahaja perkara-perkara ini tidak memiliki batas maksimumnya kerana selagi mana manusia ingin menjadikan agama sebagai permainan akalnya, selagi itulah akan muncul amalan dan hukum yang berjauhan daripada keaslian al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.
Nasihat penulis kepada para pembaca, jadikanlah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih sebagai tolok ukuran setiap ajaran yang diterima dan diamalkan. Jadikanlah ayat 59 surah al-Nisa’ yang dikemukakan di awal risalah ini sebagai manhaj utama dalam beragama.
[1] Lebih lanjut, rujuk buku penulis Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam (Edisi Baru) terbitan Jahabersa, Johor Bahru 2004.
[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya – hadis no: 5866 dan dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan.
[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 335 (Kitab Haid).
[4] Lebih lanjut rujuk buku Petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah Berkenaan Haid, Istihadah dan Nifas oleh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin terbitan Jahabersa, Johor Bahru 2004.
[5] Lebih lanjut rujuk I’lam al-Muwaqi‘in oleh Ibn al-Qayyim (edisi terjemahan oleh Asep & Kamaluddim; Pustaka Azzam, Jakarta 2000), jld. 1, ms. 39 (Muqaddimah, Bab Pengertian Nasikh & Mansukh) dan al-Muwafaqat oleh al-Syathibi (diteliti oleh ‘Abd Allah Darraz & Ibrahim Ramadhan; Dar al-Ma‘arif, Beirut 1996), jld. 3, ms. 75 (Bab al-Nasakh dengan maksud al-Takhsis, wa al-Taqyid wa al-Bayan).
[6] Wahbah al-Zuhaili – al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (Dar al-Fikr, Damsyik 1997), jld. 3, ms. 1703-1705 dan ‘Abd al-Karim Zaidan - al-Mufashshal fi Ahkam al-Mar‘ah wa Bait al-Muslim fi al-Syar‘iyyah al-Islamiyyah (Muassasah al-Risalah, Beirut 2000), jld. 2, ms. 33, masalah no: 1030.
[7] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 1923 (Kitab Puasa, Bab Keberkatan bersahur)
[8] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 1096 (Kitab Puasa, Bab Keutamaan sahur…)
[9] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 575 (Kitab waktu-waktu solat, Bab waktu solat fajar)
[10] Penulis menerima banyak maklumbalas dan soalan bahawa ramai penceramah yang menggunakan hadis di atas sebagai dalil waktu imsak. Waktu imsak sebenarnya tidak wujud dan ia adalah suatu tokok tambah yang menjauhi sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Perbincangan lanjut tentang waktu imsak akan diberikan seterusnya dalam risalah ini.
[11] Hasan: Dikeluarkan oleh Ibn Hibban dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir – hadis no: 3683
[12] Fiqh al-Siyam (edisi terjemahan oleh Ma’ruf Abdul Jalil dan rakan-rakan dengan judul Fiqh Puasa; Era Intermedia, Solo 2001), ms. 118 & 107-108
[13] Yang tepat, orang yang sakit sehingga tidak dapat makan dan minum seperti biasa tidak perlu berpuasa kerana keuzuran yang dihadapinya tidak mewajibkan dia berpuasa.
[14] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Shahihnya – hadis no: 1897 dan sanadnya dinilai sahih oleh Muhammad Mustafa al-‘Azami.
[15] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 333 (Kitab Thaharah, Bab Anjuran menyedut air ke dalam hidung…)
[16] Yusuf al-Qaradhawi - Fiqh al-Siyam, ms. 117
[17] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 617 (Kitab Azan).
[18] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 2365 (Kitab puasa, Bab orang berpuasa yang disiram ke atasnya air…).
[19] Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud (Dar al-Fikr, Beirut 1995), jld. 6, ms. 395.
[20] Fiqh al-Siyam, ms. 98.
[21] Pedoman Puasa (Thinker’s Library, Kuala Lumpur 1996), ms. 136-137
8 comments
AlhamduliLlah.. bagus En BA post hal2 berkenaan puasa ni, terutamanya yg kontra dgn apa yg tlh dipegang masyarakat. Cumanya, mgkn ada yg masih berani buat hukum sendiri.. komenpun ikut kepala sendiri dan ada pulak orang sokong. Yang benar dan yang batil itu tetap TIDAK boleh dicampuradukkan.
BalasPadamMasuk keluar masuk keluar..
BalasPadamAuuuu...
Memasukkan sesuatu kedalam tubuh badan tanpa tidak sengaja puasanya tidak akan terbatal..
Tapi ramai orang yang berpuasa ini... sudah tahu mengenainya.. Malang sekali.. mereka tetap membuatnya dengan sengaja..
Batal puasa.. mereka katakan.. boleh ganti pada lain hari... Fuuuhhh ..
Aku rasa puasa dalam bulan ramadhan lagi best.. Kalau aku ni gila-gila lagi.. aku dah tak mau puasa di bulan lain pulak.. Yelah.. orang makan.. kita puasa...
Bila ditanya.. puasa ganti ke?? Jawapannya puasa sunat.. Hahahaha.. Tutup-tutup apa yang patut...
salam en.ben, bgus info neh..sgt2 brguna. mmg byk lg yg jahil, moga kita d buka pintu ati d bln yg mulia nnti :)
BalasPadamBen, terima kasih kerana berkongsi.
BalasPadambagaimana pula dengan menggosok gigi?
ada setengah-setengah orang kata tak boleh.
ada yang kata boleh tapi kalau lepas zohor akan jadi makruh.
@noor afzan
BalasPadamBersugi dan memperbanyakkan bersiwak menggunakan kayu sugi adalah amat digalakkan dalam setiap waktu di bulan ramadhan, samada pagi , tghari atau petang.
ia berdasarkan hadith sohih yang menyebut :
dari 'AMir bin Rabi'ah berkata "Telah aku lihat Nabi SAW bersiwak tidak terkira banyaknya dalam keadaan baginda berpuasa ( riwyaat al-BUkhari)
tapi perlu ingat, siwak Nabi adalah guna kayu sugi tanpa air dan ubat gigi. Justeru tiada kemungkinan nabi terminum atau termasuk di perut Nabi ubat gigi.
Justeru, jika gosok gigi pakai ubat gigi, maka tatkala itulah terdapat ijtihad mengatakannya sbgi makruh krn bimbnag peluang terbatal kerana minum air kumuran dan ubat gigi. Keadaan ini berlainan dgn siwak Nabi SAW.
sumber : http://groups.yahoo.com/group/zaharuddin/message/591
Salam en ben..ini info menarik dan sangat berguna menjelang Ramadan..tq
BalasPadamalhamdulillah, setelah membaca ruangan ini, byk info yang sangat berguna buat saya dan keluarga serta rakan-rakan dapat saya kongsikan menjelang bulan ramadhan yang bakal menjelang..... diharapkan di masa akan datang, lebih banyak lagi info yang menarik dan berguna dapat kita kongsi bersama....
BalasPadamPergh......sambung baca lepas solat jumaat.... Panjang sangat.....
BalasPadamBab masukkan rongga dalam badan.... Ada sorang ustaz tu cakap.....rongga yang dimaksudkan kemaluan, dan dubur.... Mulut, telinga dan lubang hidung tidak dikira sebagai rongga... Maknanya....korek la..takper...tak batal pose... Cuma jangan korek dubur dah ler....hihihi