Segalanya Kerana Niat

by - Sabtu, Julai 31, 2010

Oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Menjelang ramadhan setiap kita berusaha meningkatkan pembersihan jiwanya. Mendekatkan diri kepada Allah. Mengakui sesuatu yang benar itu benar sekalipun ia menyanggahi kepentingan dan kehendak diri kita. Mengakui yang salah itu salah, sekalipun kita sudah terbabit dengan yang salah tersebut.

Ini bukan sesuatu yang mudah, ia memerlukan kekentalan jiwa yang dibina di atas niat yang ikhlas dalam perjuangan hidup di atas muka bumi ini. Hidup yang berteraskan keyakinan bahawa setiap kita akan mengadap Allah s.w.t, dan Dia menghisab segala amalan baik dan buruk yang telah kita lakukan.

Perjalanan hidup insan sebenarnya mewakili apa yang tersirat dalam jantung hati, atau niatnya. Perbuatan yang dilakukan dengan rela dan pilihan sendiri adalah tafsiran kepada niat, kefahaman dan tujuan hidup seseorang insan. Tidak lebih daripada itu. Bahkan apa yang dirancang, keinginan, harapan yang akhirnya menjelma dalam bentuk tindakan, berpunca dari niat.

Justeru dalam hadis daripada Umar bin al-Khattab r.a, beliau berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah untuk mencari duniawi atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya.” (Riwayat al-Bukhari).

Salah Faham

Sebelum kita tersilap faham, niat bukanlah seperti yang dibayangkan oleh sesetengah pihak iaitu ucapan di lidah “sengaja aku berniat sekian dan sekian..”. Sama sekali tidak. Itu hanyalah ucapan lidah, belum tentu mewakili tujuan sebenar. Niat juga bukan perkataan yang di atur dalam minda yang menyebab ramai orang yang tidak faham berulang kali kononnya melafazkan ‘niat’, sehingga terganggu solat, puasa, iktikaf dan seumpamanya.

Niat adalah keazaman seseorangan untuk melakukan sesuatu tindakan. Dalamnya merangkumi segala yang tersirat di sebalik sesuatu perbuatan. Tepat bak kata tokoh ilmuwan terkenal al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):

“Niat ialah tujuan dan azam melakukan sesuatu. Tempatnya di hati. Tiada kaitan dengan lidah sama sekali. Justeru itu, tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w dan para sahabat sebarang lafaz bagi niat. Tidak pernah kita dengar hal ini dari mereka. Segala lafaz yang diada-adakan sebelum bersuci dan solat telah syaitan jadikannya medan memerangi golongan yang was-was. Syaitan memenjara dan mengazab mereka dengannya. Dia menjadikan mereka berusaha membetulkan lafaz-lafaz itu, sehingga anda lihat ada yang mengulang-ulang dan berhempas pulas dalam mengucapkannya. Padahal ia langsung tiada kaitan dengan solat. Sebaliknya niat itu ialah tujuan sesuatu perbuatan. Setiap yang berazam melakukan sesuatu, dia telah berniat. Tidak tergambar terpisahnya perbuatan dengan niat kerana perbuatan itu adalah hakikat niat. Tidak mungkin tiada niat sedangkan wujudnya perbuatan. Sesiapa yang duduk untuk berwuduk maka dia telah berniat hendak berwuduk. Sesiapa yang berdiri untuk bersolat maka dia telah berniat untuk bersolat. Tiada seorang yang berakal melakukan sesuatu ibadah atau selainnya tanpa niat. Niat merupakan perkara semestinya wujud bagi tindakan insan yang disengajakan. Tidak perlu bersusah payah dan berusaha mendapatkannya. Sekiranya seseorang ingin menghilangkan niat dari perbuatan pilihannya, nescaya dia tidak mampu. Jika Allah mewajibkan solat atau wuduk tanpa niat, maka Dia mewajibkan apa yang insan tidak mampu. Ia tidak termasuk di bawah keupayaan insan. Kalau begitu, mengapa bersusah payah untuk mendapatkan niat?. Sesungguhnya syak dalam memperolehi niat adalah sejenis penyakit gila. Sebab, pengetahuan seseorang tentang keadaan dirinya adalah sesuatu yang yakin. Bagaimana mungkin seorang yang berakal syak tentang niat dirinya. Seseorang yang berdiri belakang imam untuk menunaikan solat zohor; bagaimana mungkin dia syak mengenai tujuannya?! Jika seseorang memanggilnya untuk sesuatu urusan ketika itu, nescaya dia berkata: aku ada urusan, aku ingin solat zohor. Jika seseorang bertanya kepadanya ketika dia keluar menuju ke tempat solat: awak hendak ke mana? Nescaya dia berkata: aku hendak solat zohor bersama imam. Jadi, bagaimana mungkin seorang yang berakal ragu-ragu mengenai hal ini dalam dirinya sedangkan dia mengetahuinya secara yakin” (Ibn Qayyim, Ighathah al-Lahfan min Masaid al-Syaitan, halaman 144).


- Gambar Hiasan

Dr Yusuf al-Qaradawi pula menyebut:

Niat ini adalah amalan hati semata. Bukan amalan lidah. Tidak diketahui daripada Nabi s.a.w., tidak juga dari para sahabah dan para tabi’in yang mengikut mereka dengan baik -yang merupakan salaf umat ini- sebarang lafaz bagi niat ibadat, seperti solat, puasa, mandi, berwuduk dan seumpamanya, apa yang kita lihat sebahagian manusia bersungguh-sungguh melakukannya, seperti mereka menyebut: Aku berniat mengangkat hadas kecil, atau besar, atau solat zohor, atau asar empat rakaat kerana Allah Yang Maha Besar, atau aku berniat puasa esok hari pada bulan ramadan dan sebagainya. Ini semua tidak dibawa (diajar) oleh sebarang ayat al-Quran atau Sunnah. Tidak ada faedah baginya, di mana seorang insan tidak akan berkata ketika hendak ke pasar: aku niat hendak ke pasar. Atau ketika dia hendak bermusafir: Aku niat bermusafir. Al-Zarkasyi dalam fatwa-fatwanya memetik perkataan al-Ghazali: “Urusan niat dalam ibadah itu mudah, namun apa yang menyusahkan ialah disebabkan kejahilan dengan hakikat niat atau (disebabkan) was-was” (http//:qaradawi.net).

Salah Niat

Penegasan niat sering kita sebutkan apabila hendak solat, puasa, zakat, haji dan ibadah-ibadah khusus yang lain. Malangnya, itu pun dengan konsep yang ‘silap’ seperti yang dijelaskan oleh dua tokoh ilmuwan di atas. Sehingga ada yang mempersendakan konsep niat dengan membuat ungkapan-ungkapan yang kononnya mewakili niat, walaupun ada maksud tersirat yang lain.

Berapa banyak operasi kewangan yang menggunakan nama ‘Islam’ dengan berbagai lafaz ketika akad, tetapi maksud yang tersirat berbeza dengan lafaz di lidah. Maka berbagai keuntungan yang sebahagiannya mempunyai unsur penindasan dan kesamaran dibuat atas nama Islam dengan kata-kata yang indah, walaupun niat sebenar amat berbeza. Sebabnya? Orang kita faham niat itu bermaksud lafaz.


- Gambar Hiasan

Maka niat atau hasratlah yang tersirat di sebalik setiap tindakan. Kita diperintahkan untuk mengikhlas niat kerana Allah dalam ibadah. Membetulkan tujuan setiap tindakan. Inilah yang menjadi antara tujuan utama pendidikan Ramadan. Justeru itu Nabi s.a.w menyebut dalam hadis qudsi:

“Semua amalan anak Adam untuknya, melainkan puasa. Ianya untukKu dan hanya Aku yang membalasnya” (Riwayat al-Bukhari).

Puasa adalah manifestasi keikhlasan yang ada dalam jiwa. Tiada siapa yang boleh tahu seseorang benar-benar puasa atau menipu melainkan Allah. Puasa bukan pergerakan jasad yang boleh dilihat, tetapi pengawalan dalaman diri yang hanya diketahui oleh Allah.

Jika ruh puasa dibawa dalam kehidupan, maka pasti banyak masalah umat Islam hari ini dapat diselesaikan. Umat kita hari ini fakir dan miskin ‘niat yang ikhlas’ dalam banyak keadaan. Walaupun niat tidak dapat kita lihat, namun sebahagian besar tindakan dan perbuatan insan mampu memberikan tanda atau menafsirkan niat yang tersirat.

Kita kemarau keikhlasan dalam ilmu, pergaulan, persaudaraan, politik, muamalat dan berbagai cabang kehidupan. Inilah krisis kita. Setiap kita, termasuklah yang menduduki tempat yang penting dalam masyarakat menyimpan niat yang berbagai. Politik umpamanya, sepatutnya setiap individu yang terlibat dalamnya, mengikhlaskan niat kerana Allah, dengan itu maka semua tindakannya dipastikan memenuhi tuntutan keperluan umat dan rakyat.

Namun, apabila ahli-ahli politik muslim menempatkan niat yang lain, maka tujuan politik yang sepatutnya menuju kepada kepentingan umat dan rakyat bertukar menjadi agenda parti atau peribadi yang akhirnya menyusahkan rakyat. Demikian juga urusan agama, sepatutnya ilmu Islam itu membimbing manusia memahami kehendak al-Quran dan Sunnah, tapi telah dijadikan agenda peribadi untuk mengaut untung, atau perniagaan, atau kuasa atau seumpamanya, akhir agama menjadi alat pencapai matlamat peribadi dan kumpulan. Maka, politik tidak mengenai tujuan, urusan agama pun tidak mencapai matlamat.

Hari ini kita melihat banyak pihak yang seruannya indah, bahkan sebahagian menggunakan nama Islam, tetapi jalan dan tindakannya amat berbeza dengan ajaran Islam. Apa sebabnya? Semuanya kerana niat. Slogan memang cantik, ramai yang boleh buat dan ada-adakan, namun niat siapa yang tahu?

You May Also Like

1 comments