Perbuatan Tel Aviv serang kapal kemanusiaan patut dilabel pengganas dunia

by - Rabu, Jun 02, 2010

dari MINDA PENGARANG BERITA HARIAN ONLINE

TINDAKAN kejam Israel sekali lagi menerima kutukan keras masyarakat dunia apabila komandonya melakukan serangan ke atas kapal bantuan kemanusiaan - Mavi Marmara, yang mengorbankan 19 sukarelawan Misi Lifeline 4 Gaza (LL4G), di luar perairan Gaza awal pagi kelmarin.

Dunia seharusnya melabelkan perbuatan komando Israel itu sebagai tindakan pengganas seperti yang sering diberikan kepada umat Islam yang melakukan sesuatu yang dianggap bertentangan dengan cita rasa Barat, khasnya kuasa besar.
Mempertahankan perbuatan terkutuk Israel membuktikan dengan jelas sokongan kuasa besar dunia terhadap negara itu. Atas nama perikemanusiaan, tidak ada sebab komando Israel itu menyerang kapal yang membawa kira-kira 10,000 tan barangan bantuan termasuk ubat, makanan dan pakaian untuk keperluan 100,000 penduduk Palestin di Gaza yang dikepung sejak dua tahun lalu.

Serangan itu membuktikan sikap Israel yang terus bermaharajalela tanpa mengambil kira perasaan masyarakat dunia. Israel yang dibentuk Britain pada 1947 dan mengisytiharkan kemerdekaan setahun kemudian itu, tidak pernah mematuhi mana-mana peraturan dan undang-undang dunia.

Alasan Israel komandonya terpaksa menembak mangsa untuk mempertahankan diri, adalah tidak masuk akal.

Masyarakat dunia mengesyaki serangan itu sememangnya dirancang berasaskan kepada sikap negara itu yang tidak menghiraukan pandangan antarabangsa untuk mewujudkan keamanan di Asia Barat. Israel sedar, walaupun dunia mengutuk tindakan mereka, tetapi selagi ada kuasa besar yang membela mereka, ia sedikit pun tidak menjejaskan kedudukan mereka. Sekiranya Israel menganggap kapal yang mereka serang itu membawa senjata, ia adalah alasan yang sengaja direka-reka. Sepatutnya, Israel melihat kesediaan sukarelawan dari seluruh dunia memberi khidmat kepada penduduk Palestin atas sifat kemanusiaan.

Sekiranya masyarakat dunia mempunyai rasa simpati terhadap penduduk Palestin, tentera Israel sepatutnya memudahkan laluan mereka, bukan melakukan serangan. Adalah lebih baik rakyat Palestin berkenaan menerima bantuan secara tersusun daripada membiarkan mereka menggali lubang di sempadan Mesir untuk membawa masuk makanan dan ubat. Tidak timbul soal mereka melakukan perbuatan subversif menyeludup senjata.
Dunia perlu melakukan sesuatu dan tidak boleh melepaskan Israel bebas tanpa sebarang tindakan. Kewibawaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga akan tercemar jika menganggap perbuatan Israel itu hanya tragedi. Tidak guna mengadakan sidang tergempar sekiranya tidak berani bertindak secara adil.

Dunia akan memerhati apa juga tindakan PBB dalam hal Israel ini. Adalah pasti bahawa tindakan komando Israel dilakukan berasas kepada ‘lampu hijau’ diberikan mereka yang berkuasa di bumi Yahudi itu. Perbuatan mereka itu adalah tambahan kepada satu lagi episod kekejaman ke atas rakyat Palestin. Tanpa bergantung kepada PBB, kita berharap blok negara seperti ASEAN, Liga Arab, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara Berkecuali dan Kesatuan Eropah memanggil sidang tergempar bagi menyatakan pendirian berhubung tindakan Israel itu.

You May Also Like

3 comments

  1. dorang memang takda perikemanusiaan pun........

    BalasPadam
  2. satu hari pasti akan berlaku peperangan antara muslim dan yahudi

    waktu itu di mana semua senjata tidak akan berfungsi melainkan kuda, pedang dan panah

    semua umat ISLAM haruslah mempersiapkan diri untuk waktu itu dengan meningkatkan amal soleh agar terlahir pahlawan ISLAM yang beriman dan bertaqwa seperti hamzah al-asad,khalid al walid, muhammad al fateh dan salahuddin al ayyubi


    berkenaan serangan ke atas mavi marvara, hamas sendiri telah menjangkakan serangan itu tapi sama seperti kata hamas, umat ISLAM takkan mundur malah akan terus bangkit kerana dalam ISLAM hanya ada dua kesudahan : MENANG atau SYAHID

    BalasPadam
  3. agak geram. perasan bagus la israel ni. tapi "kuasa besar" tu tetap nak back up.

    masalahnye... besar sangat ke "kuasa besar" tu? kenapa mesti negara2 lain takut kat dieorang?? apa negara dieorang bleh buat?? adakah rakyat dieorang semua kebal2??

    kalo dah manusia tu... manusia jugak laa... mana ada lebih2 kat mana2 pun...

    TAPI...bezanya ISLAM lebih kuat dan terbukti benar. bila lagi nak buktikan semua ni? kan?

    BalasPadam