Cantik aturan Allah !
Panjang langkah cuti sekolah , kali ni. Bermula dengan Jumaat , bertolak ke Kelantan. Anak anak terpaksa dicutikan sehari lebih awal untuk mengelakkan diri dari tersangkut dalam kesesakkan di lebuh raya !
Dan benarlah , petang Jumaat tu, jalan raya nak keluar dari ibukota menghala ke Pantai Timur dah sesak dengan kenderaan ! Allahuakhbar ! Alhamdulillah , kami dah selamat tiba di destinasi. Boleh rehat awal. Anak anak gembira dapat jumpa tok nenek dan sepupu mereka.
Aku... hehee.. dengan pelan seperti biasa. Aku punya perancangan mudah. Lebih solat subuh di masjid Aesya, terus ke Kota Bharu. Layan gym dua jam gitu.. baru balik. Setiap hari. Heee.. Untuk pengetahuan korang , 12 tahun aku kawin dengan wife aku ni... aku sebenarnya takut nak masuk Kota Bharu. Hahahaha.. Takut sesat ! Kalau gi ramai ramai , ok la. Tapi entah.. sejak dua menjak ni , aku selamba dah merayau sorang sorang kat sana.
Dan perancangan seterusnya, ke Pulau Pinang atas urusan kerja. Dan hari yang ditunggu tiba. Sebenarnya aku sedikit risau nak ke sana dek kerana cuaca yang tak menentu ditambah lagi dengan berita berita bencana alam yang melibatkan kerosakkan harta dan kehilangan nyawa.
Dari Kota Bharu nak ke Pulau Pinang.. ada dua jalan. Satu melalui Lebuh Raya Timur Barat ( Jeli - Gerik ) dan juga Gua Musang - Simpang Pulai. Kalau nak cepat , ikutlah A... Timur Barat dalam 4 jam gitu.
Tapi beranikah nak redah hujan lebat dan jalan licin ? Berbukit. Fuh... Aku belek FB group , banyak kemalangan berlaku. Anxiety menyerang. Aku cuba bertenang. Selawat dan berzikir. Berdoa agar Allah berikan petunjuk.
Pagi Rabu.. selepas solat Subuh , aku bagitau wife.. kita akan ikut jalan jauh. Tak hujan tapi akan makan masa. Tak tau berapa jam. Dengan corak pemanduan aku, pasti anak anak akan penat. Begitu juga aku.
Dari Kota Bharu , bergerak ke Gua Musang. Berehat di sana. Masa diambil dalam 2 jam lebih. Aku bawa perlahan jer. Memang tak berani nak bawa laju dengan kereta yang sudah usang. Nak beli baru, tak sanggup nak layan RIBA lagi. Allahuakhbar. Ampuni hambamu ini.
Dari Gua Musang nak ke Simpang Pulai akan melalui Cameron Highland. Alhamdulillah , tak hujan tapi jalan dia serupa ular la.. Kena kasi tumpuan 100%. Tak leh leka. Kena tenang dan alert senantiasa. Ada je kereta kereta tak sabar dok memangkah kita. Fuh.. sabar je la.
Dan akhirnya, keluar juga ke lebuh raya Utara Selatan. Lagi 2 jam nak sampai ke George Town. Aku amik keputusan untuk berehat seketika. Nak lelapkan mata. Penat sangat lawan matahari tadi.
Berhenti di RNR Sungai Perak. Terus tertidur. Tak nak tidur lama sebab wife kejar masa. Katanya ada perjumpaan sebelah malam. Terjaga dan terus bergerak. Ketika inilah segalanya berlaku. Aku undurkan kereta dan kembali ke gear D. Bergerak dan tak sangka , rupanya tayar depan tak lepas dengan batu penghadang ! Allahuakhbar.
Pecah tayar ke batu tajam. Spoiler bawah kereta pun pecah. Aduh.. Aku tepuk dahi. Hilang terus mamai aku. Cuaca makin gelap. Apakah tindakan aku ? Aku bertenang. Tukar tayar ? Barang banyak kat belakang. Camana eh ? Dalam keadaan yang masih kepenatan dan mabuk jalan , aku terus ke kedai kedai makan. Mencari staff Plus di sana.
Nampak pekerja yang sedang berehat. Aku tanya dia kat mana boleh dapatkan orang Plus. Dia suruh call terus HQ. Dia tunjuk no telefon di salah satu poster di sana. Aku pun call. Dalam beberapa minit , call dijawab. Terus buat laporan dan bantuan akan tiba dalam setengah jam. Alhamdulillah.
Aku kembali ke kereta. Termenung. Memikirkan kembali kejadian. Apasal aku tak undur betul betul ? Kenapa ? Kenapa dan kenapa ? Allahuakhbar. Aku pujuk hati. Ada hikmahnya. Allah Maha Mengetahui. Bersangka baik.
Dalam 40 minit , bantuan tiba. Terus mereka buat kerja. Tayar spare dikeluarkan. Kat sini masalah aku. Kalau tak , aku boleh buat sendiri jer tapi tayar spare tak dapat nak dikeluarkan Aku dah tergerak hati dah hari tu untuk tengok tayar spare ni dan pam kasi keras ketika tukar tayar hari tu tapi tu laaa... malas punya pasal !
Staff Plus Ronda pun tak leh nak buka tayar spare tu. Akhirnya dia ketuk. Ooooo.. ok ! Kena paksa rupanya. Huhuh.. Aku takut nak ketuk. Bukan apa.. Aku kalau buat kerja tukang gini, kesudahannya benda tu rosak. Kalau tak rosak pun, aku akan cedera. Haish.. careless orang putih kata !
Tak ingat apa dah ! Nasib baik tak berdengkur seperti sebelum sebelum ni.
Tayar berjaya ditukar tapi pam mereka lak bermasalah ! Dia suruh aku cari stesen minyak dan pam tayar di sana. Aku kata aku ada portable pam. Terus dia mintak. Huhuh.. Dan terus pam. Tak sampai seminit , tayar keras dah. Alhamdulillah. Selepas ucapkan terima kasih , mereka bergerak. Sebelum gi tu , mereka pesan untuk tukar tayar baru. Cari kedai tayar di Kuala Kangsar. Aku angguk.
Aku tengok jam. Dah kul 4 lebih. Hujan makin lebat. Risau sebab viper kereta kurang menyerlah. Bermasalah. Nak tukar dah ari tu tapi terlupa. Huhuh.. Nasib baik dari RNR ke kedai tayar berdekatan cuma beberapa belas KM jer.
Pasang waze.. selawat dan berdoa. Moga perjalanan dilindungi Allah. Bergerak perlahan dek kerana risaukan tayar. Tapi syukur pada Allah, tayar spare berfungsi dengan baik. Dan tiba ke kedai tayar di Kuala Kangsar tanpa halangan. Walaupun hujan lebat tapi kenderaan tak banyak di atas jalan raya.
Banyak kedai tayar kat sana. Huhuh.. Dan syukur sangat , mereka sangat peramah dan pantas buat kerja. Tak sampai setengah jam , selesai semuanya. Aku tukar sekali viper. Tayar dalam RM170. Aku pilih Good Year.. Amik bunga yang khas untuk jalan basah. Viper , dalam RM35.
Siap.. bertolak ke George Town. Alhamdulillah.. Cermin depan nampak terang. Viper berfungsi dengan baik. Aku lega. Boleh memandu dengan tenang. Dalam jam 6 petang gitu , tiba di Royale Chulan Hotel. Alhamdulillah.. Dapat tempat letak kereta pun cantik walhal penuh ! Kebetulan ada satu tempat kosong untuk diisi. Allah permudahkan urusan kami dengan sedikit ujian kecilNya.
Syukur sangat.. Alhamdulillah. Dan 3 hari di Pulau Pinang , cuaca sangat cantik. Puashati dan berbaloi turun sana walhal sehari sebelum tu , ribut banjir bagai melanda. Aku tengok di page FB dan ada beberapa berita melibatkan kemalangan di Lebuh Raya Timur Barat.. huhu...
1 comments
Alhamdulillah sampai setelah melalui ujian ujian kecil.. Apa yang ditakdirkan, tetap akan terjadi.. Semoga Allah lindungi selalu
BalasPadam