Magika dan Syamsul tak layak menang!

by - Sabtu, Oktober 30, 2010

 

BA : Nasib baik aku tak tengok.. kalau tengok ,sah sah aku baling kerusi sbb tah hapa hapa punya keputusan !! Sampai ke filem pon nak dipolitikkan ...

 

Oleh Hartati Hassan Basri dan Nor Akmar Samudin

FESTIVAL Filem Malaysia ke-23 (FFM23) yang baru saja berakhir minggu lalu bertemakan Filem Malaysia Ke Persada Dunia.

Kedengarannya sangat megah dan besar. Namun jika mengikut pengertian sebenarnya, filem yang sepatutnya menepati tema itu adalah filem berwajah dan beridentitikan masyarakat negara ini bukannya mengambil idea luar dan dijadikan filem kita. Filem seperti itulah sepatutnya diangkat dan diperkenalkan kepada penonton antarabangsa. Penonton di barat misalnya ingin melihat pokok kelapa dan pokok pisang, bukannya pokok Krismas yang memang ada di negara mereka. Mereka ingin melihat orang makan dengan tangan dan bukannya menggunakan sudu garfu. Mereka ingin melihat budaya dan cara hidup masyarakat kita yang tiada dalam budaya mereka. Jadi apa ertinya perkara yang sudah menjadi amalan harian mereka dipaparkan semula kepada mereka. Sudah semestinya apa yang mereka ada lebih hebat lagi. Apa yang kita buat sekarang, ambil rangka luar dan isi dengan cerita kita kemudian dibawa ke persada dunia. Apa yang sepatutnya dilakukan, tonjolkan apa yang kita ada iaitu budaya bangsa yang sangat kita banggakan untuk dipersembahkan ke peringkat dunia. Kalau kita lihat filem luar yang dibawa ke persada dunia seperti filem seram Thailand, Nang Nak arahan Nonzee Nimibut, ia mengambil cerita legenda rakyat Thai dan hasilnya bukan saja popular di Thailand, tetapi juga di luar negara, sekali gus menaikkan industri filem Thai yang begitu merosot dengan filem yang kurang berkualiti.

Nang Nak menang Filem Terbaik pada Festival Filem Bangkok 1999 dan Filem Asia Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Rottterdam 2000. Melalui Festival Filem Asia Pasifik yang ke 44, Nang Nak menang Pengarah Seni Terbaik dan Kesan Bunyi Terbaik. Dari segi sambutan, jualan tiket mengatasi filem Titanic dan Jurassic Park. Begitu juga Ong Bak (2005) mengangkat seni mempertahankan diri terkenal di Thailand. Di negara kita, filem Estet arahan Mamat Khalid memaparkan budaya tiga bangsa utama yang ada dalam negara, Melayu, Cina dan India yang tinggal di Estet Cintamanis. Demi menjayakan misi 1Malaysia yang dilaungkan kerajaan, Mamat sanggup belanja duit sendiri untuk menerbitkan filem berkenaan.

Namun sudah takdirnya, filem itu tewas di tangan Magika, filem muzikal fantasi arahan sulung Edry Abdul Halim untuk diangkat Filem Terbaik manakala pengarahnya, kecundang di tangan pengarah muda, Syamsul Yusof untuk Pengarah Terbaik. Dua filem ini berjaya kerana sesuai dengan tema festival, Filem Malaysia ke Persada Dunia, tetapi hakikatnya ia dilihat mengambil inspirasi Hollywood.

Keputusan itu bukan saja membuatkan Mamat kecewa sebagaimana disiarkan dalam ruangan Interaksi pada Rabu lalu, malah menjadi bualan penggiat seni tanah ais sepanjang minggu ini. Pengarah yang sering mencatat kejayaan box-office, Ahmad Idham Nazri yang turut bertanding untuk Pengarah Terbaik turut mempersoalkan keputusan dan kewajaran juri yang dilantik menghakimi semua filem yang dicalonkan dalam FFM23. Katanya, juri sendiri keliru dengan tema festival hingga tidak tahu hendak dibawa ke mana filem itu.

"Apabila filem Magika menang, apa yang boleh kita banggakan. Sebelum diangkat Filem Terbaik, selayaknya ia diiringi kejayaan lain seperti menang Cerita Asal Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Terbaik.

"Namun sebaliknya Magika hanya menang kategori kecil. Kalau tanya pada saya, dua filem saja yang layak dijadikan Filem Terbaik iaitu Estet dan Wuhoo. Ia adalah filem orang kita yang asli. Ia adalah filem Melayu dan filem seperti inilah sepatutnya dipertontonkan ke persada dunia. "Bukannya ciplak filem mereka kerana mereka sudah ada terlalu banyak cerita macam itu.

"Membaca luahan hati Mamat Khalid dalam akhbar ini Rabu lalu, saya faham perasaannya. Saya juga berasa sangat kelakar apabila mana filem arahan saya, Niyang Rapik mendapat dua pencalonan pada kategori Anugerah Cipta dan empat pencalonan untuk Anugerah Perdana, tetapi untuk kategori Pengarah Terbaik saya dicalonkan untuk filem Adnan Sempit.

"Macam mana saya hendak menang kerana Adnan Sempit filem ringan. Peliknya, kenapa mereka tidak calonkan saya untuk filem Niyang Rapik. Tetapi saya tetap bersyukur walaupun juri tidak meletakkan saya pada kategori yang sepatutnya namun mereka tidak boleh menafikan saya dan David Teo berjaya menghasilkan sebuah filem pecah panggung. Ia pencapaian paling bermakna kerana disokong penonton filem Melayu," katanya.

Tambah Idham, kiblat juri FFM23 sendiri kabur dan apa yang dilakukan mereka seperti hendak memberi anugerah itu sama rata. Impaknya lebih mengelirukan masyarakat lalu kewibawaan juri dipersoalkan.

Katanya, juri yang dipilih masih berpegang kuat kepada teori yang mereka belajar berpuluh tahun lalu sedangkan penjurian mestilah berdasarkan arus sekarang. "Saya tidak mempersoalkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) selaku penganjur FFM23, tetapi kredibiliti juri. "Kekuatan festival filem terletak pada juri di mana keputusan yang mereka buat akan mencerminkan industri dan yang menjadi mangsa adalah pemenang. "Majoriti boleh rasa siapa yang patut menang dan siapa yang tidak layak menang. "Sesiapa saja yang menganjurkan festival filem, mereka kena tahu jiwa dan roh festival itu terletak pada juri. Kerja juri bukan memberi anugerah sama rata. "Sudah sampai masanya FFM mengenengahkan wajah baru sebagai juri seperti Shuhaimi Baba, Sidi Oraza, Erma Fatima, U Wei dan Rosyam Nor kerana mereka sudah melangkah ke peringkat dunia," katanya.

Mengulas kemenangan Syamsul, kata Idham, dia perlu belajar mengarah dengan anak Datuk Yusof Haslam itu.

Katanya, sudah lima tahun dia dicalonkan untuk Pengarah Terbaik, tetapi tidak pernah menang berbeza dengan Shamsul.

"Saya tidak kisah kalau kalah di tangan Mamat Khalid. Saya ingat lagi ketika mengarahkan Remp-It, Jangan Pandang Belakang dan beberapa filem lain. Remp-It terutamanya, filem genre baru dalam industri dan berjaya tetapi ketika itu ada yang kata pada saya, saya tidak boleh dipilih sebagai Pengarah Terbaik kerana saya masih baru (ketika itu).

"Mereka juga kata Remp-It tidak menepati kehendak festival kerana tidak ketengahkan imej dan budaya Melayu, tetapi kenapa Magika dipilih sebagai Filem Terbaik kerana ia juga filem yang tiada imej Melayu. Hanya watak legenda itu saja imej Melayu, tetapi cara pembawakan dan lagunya tidak melambangkan imej Melayu.

"Ciri lain untuk dipilih sebagai Pengarah Terbaik juga berdasarkan konsistensi karya yang dihasilkan seseorang pengarah. Bukan baru buat dua tiga filem sudah layak dikatakan terbaik kerana kita belum tengok karyanya yang seterusnya. "Saya sudah buat 21 filem dengan pelbagai genre dan semuanya berjaya mengutip kutipan yang tinggi. Saya akui filem Tipah Tertipu kurang cemerlang, tetapi balik modal. Filem yang lain seperti Adnan Sempit berjaya jadi filem pecah panggung," katanya.

Sementara itu, pelakon dan pengarah muda, Farid Kamil yang dicalonkan Pengarah Terbaik melalui filem sulungnya, V3: Samseng Jalanan dan Pelakon Lelaki Terbaik melalui lakonannya dalam Lagenda Budak Setan turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan keputusan juri.

Katanya, dia bangga apabila tewas kepada Bront Palarae kerana dia memang layak diangkat Pelakon Lelaki Terbaik kerana lakonan berkesannya dalam Belukar.

"Saya tidak tengok lakonannya dalam Belukar, tetapi melalui treler yang disiarkan, memang mengagumkan. Malah ramai memuji lakonannya dan meramalkan kemenangannya. Dia bukan saja hebat dalam Belukar, malah dalam drama dan filem lain. "Bagi saya kemenangan Bront adalah pilihan tepat. Bagaimanapun, apabila Shamsul menang Pengarah Terbaik, saya memang rasa terpukul habis. "Saya yakin bukan saya saja, terkejut tetapi satu Malaysia. Bukan saya kecewa kerana kalah, tetapi dari awal lagi saya yakin trof itu milik Mamat Khalid," katanya.

Kata Farid, bukan saja keputusan juri pada malam FFM23 yang dipertikaikan, malah sebaik saja senarai top 5 diumumkan, sudah ramai meluahkan rasa tidak puas hati.

"Paling ketara, ketiadaan filem Muallaf dalam senarai pencalonan dan banyak lagi. Bagi saya, untuk menjulang filem Malaysia yang dikatakan sesuai dengan tagline Filem Malaysia ke Persada Dunia, ia perlulah mengikut acuan kita.

"Lihat filem bukan satu sudut saja, tetapi pandang dari naratif, sinematografi, suntingan dan ideologinya. Intipati filem itu perlulah merangkumi pelbagai aspek. "Bagi saya filem itu perlulah mempunyai ideologi tempatan, apabila di bawa keluar negara menjadi antarabangsa dengan ideologi Malaysia," katanya.

 

-BHARIAN ONLINE-

You May Also Like

3 comments

  1. biasalah tu
    rumah siap,pahat berbunyi

    BalasPadam
  2. rasanya panel penilai tu dah cukup bijak untuk menilai. kadang2 kalau diorg nak kata itu tak layak, ini tak layak, diorg ni pandai sangat ke? kalau bagus sangat, kenapa tak terpilih jadi juri? tak perlu nak kondem2 pun. nak industri filem malaysia gah, so jangan main tikam belakang. sesiapa pun yang menang, matlamatnya satu je. demi memajukan industri seni malaysia. nak diikutkan, semua yang tersenarai tu dah dikira menang dah.

    panjang lak membebel. pendapat peribadi je.

    BalasPadam
  3. chun ada tengok magika.best, tpi macam dalam berita tu tulis la. more to broadway n hollywood.

    tadi pagi dah baca berita ni. setuju gak dengan pendapat depa. tapi tiap2 tahun macam ni. selalu pilih pemenang yg boleh bikin rioh org nak cakap2 kat belakang

    BalasPadam