Berminat nak makan malam bersama Perdana Menteri tak ??

by - Rabu, September 29, 2010

 

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak akan menganjurkan makan malam khas untuk rakan-rakan dalam talian beliau di Seri Perdana, Putrajaya, pada 4 November ini.

Perdana Menteri berkata, jamuan bermula 8 malam itu diadakan selepas kejayaan acara jamuan teh pada Mac lepas dan bertujuan berkenalan dengan rakan senegara serta berdialog dengan mereka.

"Pada awal tahun ini, saya telah berpeluang menjadi hos kepada rakan-rakan dalam talian saya dalam satu peristiwa istimewa dan saya telah memaklumkan bahawa akan terdapat lebih banyak acara seperti ini lagi pada masa depan.

"Saya begitu teruja untuk mengumumkan acara yang akan datang yang akan diadakan pada 4 November malam. Pendaftaran untuk mendapatkan undangan kini dibuka dan saya mengalu-alukan anda mendaftar dan menyertai acara ini," katanya dalam laman blog beliau, www.1Malaysia.com.my hari ini.

Najib berkata, beliau benar-benar berpuas hati dengan acara lepas dan berharap akan berpeluang untuk berdialog secara terbuka dan ikhlas seperti yang berlaku dalam pertemuan sebelum ini.

"Yang menariknya tentang acara ini adalah ia membolehkan saya berinteraksi dengan rakyat Malaysia dari segenap lapisan dan latar belakang, terutamanya kerana mereka yang menjadi tetamu saya dipilih secara rambang daripada senarai mereka yang mendaftar," katanya.

Najib berharap rakan-rakan dalam talian beliau sudah meluangkan masa untuk benar-benar mengenali laman web beliau yang berwajah baru.

"Memandangkan tujuan saya adalah untuk terus meningkatkan hubungan kita dan dialog 1Malaysia, saya akan memperkenalkan lebih banyak ciri-ciri dan program-program lain melalui laman 1Malaysia.com.my dan Facebook saya dari semasa ke semasa," katanya.

Najib, yang dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) ke-65 di samping Sidang Kemuncak Asean-Amerika Syarikat, menyifatkan lawatan kerjanya itu sebagai begitu bermakna sekali.

"Sejak mula tiba lagi jadual saya begitu ketat dan waktu yang terluang untuk saya berblog begitu terhad. Bagaimanapun, saya ingin mengambil kesempatan ini secara ringkas untuk berkongsi dengan anda satu acara menarik yang begitu saya nanti-nantikan (pada 4 November ini)," katanya. - BERNAMA

 

sumber : BHARIAN

You May Also Like

3 comments