Dapur Tanpa Sempadan...

Selasa, 9 Disember 2014

BEN ASHAARI di akhbar HARIAN METRO

 

Jumpa jugak artikal ni.. heheheh … Terima kasih Harian Metro. Cuma ada beberapa fakta kena betulkan .. part 20K tu .. hehehe ..  Bagi yang tak sempat baca , boleh la baca kat sini yer ..

“ Seawal jam lima pagi, penulis blog terkenal Ben Ashaari, 38, memulakan rutin hariannya sebagai suri rumah. Dia memandikan dua anaknya, Muhammad Qhalish Iman dan Zahra Nuriman, memakaikan lampin dan pakaian seterusnya menyediakan susu kepada mereka.

Selepas menidurkan si kecil, dia menyambung kembali tugas harian seperti menyapu sampah, mengemas ruang tamu, dapur dan bilik tidur serta menyidai pakaian. Sejak melepaskan jawatan sebagai penolong pegawai tadbir di sebuah agensi kerajaan dua tahun lalu, beginilah rutin hariannya setiap hari.

Namun dia mempunyai masa yang banyak untuk menulis di blog, berbeza ketika bekerja dulu kerana terikat dengan masa. Penceritaannya pula semakin berbeza. Jika dulu dia banyak menulis mengenai isu semasa tetapi kini cerita lebih kepada keluarga dan penjagaan dua anaknya.

"Sebagai bapa saya menjadi lebih berpengalaman kerana banyak isu mengenai kanak-kanak yang saya pelajari. Jika dulu saya langsung tidak tahu aspek penjagaan jika anak demam atau sakit, makanan yang disukai anak tetapi kini sejak menjadi suri rumah saya banyak belajar mengenainya," katanya.

Ditanya mengenai pandangan masyarakat terhadap suami yang menjadi suri rumah, jelasnya, pada mulanya isterinya Norazila Md Zin agak keberatan apabila Ben meluahkan hasrat menjadi suri rumah dan penulis blog sepenuh masa.

"Tetapi saya yakinkan isteri yang menjadi suri rumah jalan terbaik. Selain dapat menulis sepenuh masa, saya dapat memberikan perhatian kepada anak sepenuhnya. Lagipun jika dengar cakap orang memang tiada yang positif lebih baik memikirkan mengenai masa depan keluarga," katanya.

Ben memberitahu, di luar negara ramai penulis blog berhenti kerja kerana mahu menumpukan perhatian sepenuhnya dalam bidang ini. Namun di Malaysia, perkara ini masih baru.

Dia memulakan penulisan di blog sekitar 2009 menerusi www.benashaari.com. Tidak disangka penulisan yang hanya berkisar kepada diri sendiri dan isu semasa mula mendapat perhatian pembaca sehingga berjaya mengumpul 27,000 pengikut dan dilayari 4,000 pembaca sehari. Kewujudan media sosial Facebook menyebabkan dia terpaksa mewujudkan halaman peminat disebabkan pengikut yang ramai.

Elak cetus konflik

"Mungkin kerana penulisan saya santai dan dekat di hati pembaca, ia menjadi ikutan. Lagipun saya mengelak untuk menulis mengenai isu berkaitan politik atau perkara yang boleh mencetuskan konflik. Saya hanya mengulas sesuatu isu dengan menjadikan akhbar sebagai rujukan utama," katanya.

Kini penulisan blog menjadi sumber pendapatannya, malah wang yang diperoleh menerusi blog melebihi gaji ketika bekerja dulu. Pada satu-satu masa, Ben memperoleh pendapatan daripada pengiklan yang membeli ruang iklan di laman blognya selain ulasan produk seperti gajet, kereta dan barangan rumah. Lebih menyeronokkan dia turut menerima gajet terkini setiap kali membuat ulasan produk sambil menunjukkan telefon bimbit yang diperoleh hasil menulis iklan, juga set home theater bernilai RM20,000 juga diperoleh hasil menulis ulasan produk.

"Saya sudah membuktikan menjadi penulis blog sepenuh masa mampu menjana pendapatan sendiri. Selain itu, saya juga boleh menyelesaikan tugasan seharian dengan baik di samping dapat membantu isteri melakukan kerja rumah. Banyak masa berkualiti bersama isteri dan anak-anak di rumah," katanya yang pernah menerima pendapatan tertinggi RM20,000 sebulan hasil menulis iklan.

Jelasnya, menjadi penulis blog sepenuh menyebabkan dia boleh bercuti pada bila-bila masa. Dia juga tidak perlu melalui kesesakan jalan raya setiap hari berbanding ketika bekerja pada waktu pejabat. Walaupun pendapatan yang diperoleh tidak tetap, ia cukup untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga. Malah Ben tidak mengambil kesempatan dengan gaji isteri kerana dia sendiri mempunyai pendapatan hasil menulis blog.

"Saya bekerja dari rumah, oleh itu segala perbelanjaan seperti sewa rumah, kereta dan perbelanjaan dapur saya yang membayarnya. Tidak timbul isu suami yang menjadi suri rumah hanya mengharapkan duit isteri. Dalam banyak perkara kami berbincang mengenai apa yang perlu diselesaikan," katanya.

Mempunyai perancangan masa depan dalam bidang penulisan blog, Ben bersyukur kerana dapat merealisasikan Kelab Blogger Ben Ashaari, yang kini mempunyai 23,000 pengikut daripada kalangan penulis blog yang sudah terkenal mahupun yang baru bertapak.

Tujuannya untuk menyatukan semua penulis blog di Malaysia serta mempromosikan blog menerusi media sosial Facebook. Secara tidak langsung, ia dapat menjana pendapatan penulis blog menerusi ulasan iklan.

"Setakat ini banyak aktiviti diadakan antaranya pertandingan paintball, beriadah bersama keluarga dan perjumpaan seminggu sekali. Pertemuan ini dapat mengeratkan perhubungan selain bertukar pendapat mengenai isu semasa," katanya yang berharap dapat mewujudkan syarikat sendiri suatu hari nanti.  “

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 di  http://www.hmetro.com.my/node/12347.

6 komen :

Siti Hajar Mohamad berkata... [Reply to comment]

Syabas dan tahniah...saya memang suka baca tulisan gaya ben mcm nie...teruskan usaha..

Shark Kay berkata... [Reply to comment]

u r my idol :)
bukan snang nk jadi blogger nie.
ingt main main tulis je ker.

AMIIZAA berkata... [Reply to comment]

Salams,
Tahniah aben...semoga terus suksess...amin:)

Allene ALineWorks berkata... [Reply to comment]

thorrbaik la bang ben....

izzeyda berkata... [Reply to comment]

suka baca blog ben.. teruskan lagi usaha menulis blog ya..

korie hensem berkata... [Reply to comment]

ok rsa bangga dgn big bro kita nii
dia xckp plak psl kelab blogger BA
menyatukan ramai blogger seluruh MY
:)

tahniah abg ben.

Peringatan



Ini adalah blog peribadi.Sebarang pendapat yang saya luahkan di sini adalah dari saya sendiri ,tidak melibatkan mana mana pihak kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya.

Sebarang PRINT SCREEN terhadap blog ini adalah dilarang kecuali atas keizinan tuan punya blog. Tuan punya blog tidak teragak agak mengambil tindakan undang undang jika hak persendirian ini dicabuli.

Pendapat penulis tidak semestinya kekal .

Terima Kasih ..

BEN ASHAARI